top of page

Pelancaran projek infrastruktur dijangka terus mendorong sektor pembinaan – RHB Investment


Pelancaran projek infrastruktur dijangka terus mendorong sektor pembinaan – RHB Investment

Pelancaran projek infrastruktur dijangka terus mendorong sektor pembinaan – RHB Investment

KUALA LUMPUR 18 Mac - Syarikat pembinaan akan terus merekodkan bil peringkat siap lebih tinggi dengan jangkaan pelancaran projek infrastruktur tertentu pada bulan-bulan akan datang.


RHB Research berkata, walaupun ia berpendirian ‘overweight’ ke atas sektor pembinaan, pelabur disarankan agar memilih kaunter yang mempunyai kelayakan dalam projek infrastruktur awam tempatan dan masih mempunyai pendedahan yang baik dalam pasaran luar negara atau projek perindustrian swasta.


Selain itu, firma penyelidikan tersebut berkata faktor lain yang perlu diambil kira ialah kunci kira-kira yang sihat.


"Atribut sedemikian adalah penting untuk mengharungi sebarang risiko negatif yang mungkin timbul daripada kekurangan buruh tidak dijangka, kelembapan pelancaran projek infrastruktur awam dan kenaikan kos bahan binaan yang berpanjangan," katanya dalam nota penyelidikan.


RHB Investment berkata demikian selepas sektor pembinaan mencatat laporan kewangan dalam jangkaan pada pada tahun kewangan 2023 (FY23), di mana empat daripada 10 syarikat di bawah liputannya selaras dengan anggaran, manakala dua melebihi jangkaan dan empat jatuh di bawah anggaran. 


Menurut firma tersebut, pengeluaran ekonomi sektor pembinaan meningkat 6.1% tahun ke tahun pada 2023. Begitu juga, jumlah nilai kerja pembinaan yang dilakukan pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) yang meningkat 6.7% kepada RM34.1 bilion – tertinggi dalam 15 suku.


Dengan itu, nilai keseluruhan kerja pembinaan yang dilakukan pada 2023 berjumlah RM132 bilion, iaitu yang tertinggi dalam tempoh empat tahun.


Projek infrastruktur yang dijangka membuat penampilan sulung dalam beberapa bulan akan datang termasuk Transit Aliran Ringan Pulau Pinang (LRT) di mana perincian muktamad mungkin diketahui semasa mesyuarat parlimen pertama yang berakhir bulan ini.


Selain itu, terdapat projek tebatan banjir di seluruh negara dengan peruntukan RM11.8 bilion di bawah Bajet 2024 dan pembinaan semula lima stesen LRT3.


Sementara itu, Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dijangka akan dilancarkan selepas suku keempat 2024 memandangkan MRT Corp hanya akan memuktamadkan pengambilalihan tanah pada suku ketiga.


Pilihan utamanya dengan saranan ‘beli’ ialah Gamuda Bhd (harga sasaran [TP]: RM6.46), Kerjaya Prospek Group Bhd (TP: RM2.15) dan Sunway Construction Group Bhd (TP: RM3.34).


Sumber: DagangNews


Pelancaran projek infrastruktur dijangka terus mendorong sektor pembinaan – RHB Investment

11 views
bottom of page