top of page

Contohi strategi negara jiran capai sasaran 30 ekonomi terbesar dunia


Contohi strategi negara jiran capai sasaran 30 ekonomi terbesar dunia
Jakarta, Indonesia. - Foto fail REUTERS

Contohi strategi negara jiran capai sasaran 30 ekonomi terbesar dunia

Pada akhir Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Ekonomi MADANI sebagai wadah untuk Malaysia menjadi peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara. Demi mencapai hasrat ini, kerajaan bermatlamat untuk mencapai sasaran muncul sebagai 30 ekonomi terbesar di dunia dalam jangka masa sederhana.


Kerangka Ekonomi MADANI digariskan itu antara lain menyasarkan Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.5 ke 6.0 peratus dan seterusnya muncul sebagai negara tersenarai dalam 30 ekonomi terbesar dunia.


Namun begitu, adakah sasaran untuk menjadi 30 ekonomi terbesar dunia mampu mengukuhkan mata wang ringgit. Menurut sesetengah pakar ekonomi, ringgit berpotensi menyusut ke paras lebih rendah dan ini menunjukkan permintaan luar terhadap barangan Malaysia semakin berkurangan.


Justeru, kerangka Ekonomi MADANI yang menyasarkan Malaysia menjadi 30 ekonomi terbesar dunia berkemungkinan dapat mengukuhkan kembali ringgit di pasaran global.


Menurut Bank Dunia, Malaysia berada pada tangga ke-37 ekonomi dunia, dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$406.3 bilion bagi 2022.


Sebagai perbandingan, bagi tahun sama, negara jiran berada dalam 30 ekonomi terbesar dunia adalah Indonesia pada tangga ke-16 (KDNK bernilai AS$1.3 trilion) dan Thailand menduduki tangga ke-30 (KDNK bernilai AS$495.3 bilion).


Kerangka Ekonomi MADANI menggariskan tiga strategi utama untuk mencapai sasaran 30 ekonomi terbesar dunia. Strategi pertama ialah pengintegrasian ekonomi mendalam dengan negara luar.


Melalui strategi ini, syarikat tempatan mendapat mandat langsung daripada kerajaan untuk lebih aktif dan berdaya saing dengan pasaran rantau ASEAN. Strategi seperti ini diguna pakai Indonesia dan Thailand.


Sebagai contoh, Kerjasama Pembangunan Indonesia-Switzerland 2021-2024 memberi tumpuan kepada pengukuhan institusi awam melalui penggunaan sumber dan pengukuhan daya saing sektor swasta, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).


Mereka bersinergi untuk meningkatkan kapasiti PKS Indonesia bagi menembusi pasaran eksport khas ke Eropah melalui Switzerland.


Sejajar dengan kerjasama pembangunan itu, pada suku pertama 2021, Switzerland berada di kedudukan 10 teratas daripada 38 negara untuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Indonesia.


Lebihan imbangan perdagangan

Di samping itu, nilai pelaburan Switzerland di Indonesia mencecah AS$469.5 juta membabitkan hampir 200 projek. Pelaburan langsung ini sumbangan utama menjadikan lebihan imbangan perdagangan Indonesia kepada Switzerland berjumlah AS$1.2 bilion.


Melalui lebihan imbangan perdagangan ini, harga pasaran produk Indonesia meningkat sekali gus menjadikan produk negara itu lebih berdaya saing dan seterusnya mengukuhkan rupiah.


Strategi kedua adalah mengadakan perhubungan strategik melangkaui perjanjian perdagangan bebas (FTA), seperti pengaturan strategik memudahkan pergerakan barang dan perkongsian teknologi.


Strategi ini diguna pakai Thailand dengan mengadakan hubungan strategik dalam Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) China-Thailand meliputi Bangkok ke wilayah Nong Khai di utara, menghubungkan Kunming di barat daya China.


Projek HSR ini memberi kemudahan pergerakan barang dan kos efektif antara China dan Thailand. Selain itu, China juga bersetuju berkongsi teknologi, kemahiran dan pengetahuan mengenai projek HSR.


Melalui pengaturan strategik ini, syarikat tempatan menjadi lebih berdaya saing dengan negara jiran, seterusnya mengukuhkan ekonomi dan mata wang baht.


Strategi ketiga ialah mengutamakan nilai tambah dalam industri utama. Pada 2020, Indonesia membuat penstrukturan terhadap ekonomi mereka dengan mengutamakan konsep nilai tambah pada aktiviti hiliran membabitkan pemprosesan bahan mentah kepada produk siap.


Sebagai contoh, nikel mentah diproses kepada produk mewah seperti bateri litium untuk kegunaan kereta elektrik.


Justeru, kerangka Ekonomi MADANI berupaya mencapai sasaran Malaysia menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia, sekali gus mengukuhkan nilai ringgit.


Oleh demikian, demi menjayakan pelaksanaan tiga strategi terbabit, penyampaian dan kefahaman mengenai setiap strategi kepada kerajaan, sektor swasta, rakyat dan negara jiran perlu dilakukan dengan jelas dan komprehensif.


Pensyarah Kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya


Sumber: Berita Harian


Contohi strategi negara jiran capai sasaran 30 ekonomi terbesar dunia


bottom of page