top of page

IJM tinjau raih projek di Kota Nusantara


IJM tinjau raih projek di Kota Nusantara
Nusantara akan menggantikan peranan Jakarta sebagai ibu negara pusat pentadbiran Indonesia yang baharu tahun depan - Foto Reuters

IJM tinjau raih projek di Kota Nusantara

KUALA LUMPUR: IJM Corporation Bhd bakal mendapat pemangkin baharu jika berjaya meraih kerja untuk ibu negara baharu Indonesia, Nusantara yang terletak di Kalimantan.


Penganalisis RHB Research, Adam Mohamed Rahim, berkata selain projek di Nusantara itu, pemangkin utama bagi IJM selepas ini adalah berkaitan dengan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Transit Aliran Ringan Pulau Pinang.


"Kami tidak menjangka projek lebuh raya di Malaysia akan memberi manfaat kepada IJM kerana kumpulan ini sudah lama tidak terbabit dalam projek besar di Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu nota penyelidikan.


IJM sebelum ini dilaporkan sudah menghantar cadangan kepada Kerajaan Indonesia untuk membina perumahan kerajaan di Nusantara yang bernilai lebih daripada RM1 bilion.


Jika berjaya dengan cadangan itu, ia akan merintis kepada syarikat itu untuk meraih lebih banyak projek di Nusantara pada masa akan datang.


Nusantara yang sedang giat dibangunkan ketika ini dijadual akan menggantikan peranan Jakarta sebagai ibu negara pusat pentadbiran Indonesia yang baharu mulai tahun depan.


Kota Nusantara ini terletak di antara Kalimantan Timur yang sebelum ini adalah sebahagian daripada Penajam Paser Utara dan Kutai Kartanegara.


IJM minggu lalu berjaya meraih kontrak daripada Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd untuk mereka bentuk, membina dan menyiapkan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQC) (Pakej 2A) dan kerja-kerja luaran ICQC (Pakej 2B) untuk projek Landasan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.


Jumlah nilai kontrak ialah RM1.1 bilion dengan peruntukan sementara sebanyak RM155 juta dan projek ini dijangka bermula dalam beberapa bulan akan datang dengan sasaran tarikh siap pada Disember 2026.


Adam berkata, projek ini adalah kerja kedua yang diraih IJM untuk tahun kewangan 2024 berakhir Mac, lantas menjadikan jumlah kemenangan kerja kumpulan setakat tahun ini kepada RM1.9 bilion, termasuk peruntukan sementara RM155 juta daripada projek RTS Link Johor Bahru-Singapura.


Katanya, hal ini memberi kebolehlihatan perolehan selama hampir empat tahun kepada IJM.


"Dari segi kebolehuntungan, kami andaikan kerja ini mempunyai margin untung sebelum cukai (PBT) antara enam hingga lapan peratus.


"Pada pandangan kami, nilai RM1.1 bilion ini munasabah untuk ICQC kerana ia akan mengurus pelepasan kastam Malaysia dan Singapura," katanya.


Menuju ke hadapan, Adam berkata, RHB Research percaya tiada lagi pakej kerja besar di bawah projek RTS Link.


"Kami dapati bahawa pakej yang belum dianugerahkan di bawah RTS Link hanyalah berkait dengan pembinaan ciri-ciri kesenian jejambat (Pakej 7) dan muka luaran stesen RTS Link Bukit Chagar (Pakej 8) yang kemungkinannya bernilai bawah RM100 juta.


"Sementara itu, pakej kerja terdahulu untuk jejambat darat dan stesen Bukit Chagar dianugerahkan kepada Sunway Construction Bhd dan Gadang Holdings Bhd," katanya.


Beliau berkata, RHB Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham IJM dengan harga sasaran baharu RM1.99 berbanding RM1.74 sebelum ini, kenaikan sebanyak empat peratus.


"Risiko negatif utama membabitkan penambahan kerja yang lebih perlahan daripada jangkaan dan tempoh kos bahan mahal berlarutan. Kejadian sebaliknya menandakan risiko positif," katanya.


Sumber: Berita Harian


IJM tinjau raih projek di Kota Nusantara


bottom of page