top of page

Projek hotel pertama di Nusantara mula dibina


Projek hotel pertama di Nusantara mula dibina
Ilustrasi komputer menunjukkan reka bentuk Istana Presiden yang bakal dibina di Nusantara, ibu negara baru Indonesia, di Kalimantan Timur, kira-kira 2,000 kilometer dari Jakarta. - Foto AFP

Projek hotel pertama di Nusantara mula dibina

NUSANTARA: Pembangunan kini rancak dijalankan di Nusantara, ibu negara baru Indonesia, di Kalimantan Timur, dengan yang terkini melibatkan pembinaan sebuah hotel.


Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), pada Khamis lalu meletakkan batu asas bagi projek pembinaan hotel pertama di kawasan yang pesat membangun sekarang ini.


Hotel mercu tanda ini, yang dinamakan 'Hotel Nusantara' sempena ibu negara baru itu, dibangunkan oleh konsortium perniagaan Indonesia diterajui oleh Sugianto Kusuma, juga dikenali sebagai Aguan, pemilik syarikat hartanah terkenal Agung Sedayu Group.


Dalam ucapan perasmiannya, Jokowi melahirkan rasa terima kasih kepada Aguan dan rakan-rakannya di atas kehadiran mereka, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur di Nusantara.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

"Projek ini berfungsi sebagai pemangkin yang akan menarik ramai pelabur lain ke Nusantara. Saya yakin tentang itu," katanya.


Pembinaan Hotel Nusantara dianggar membabitkan pelaburan sebanyak 20 trilion rupiah (RM6.1 bilion).


Jokowi turut mendedahkan bahawa projek tambahan sektor swasta akan dimulakan tidak lama lagi, memberi tumpuan kepada pembinaan hospital, pusat runcit, institusi pendidikan dan kemudahan penting lain.


Pembangunan itu akan melengkapkan pembinaan prasarana asas yang berterusan, termasuk jalan raya, lapangan terbang, bekalan air dan elektrik serta bangunan-bangunan awam, yang dilaksana pemerintah.


Pemerintah menyasarkan untuk memindahkan ibu negara secara rasmi dari Jakarta ke Nusantara semasa sambutan Hari Kemerdekaan pada Ogos 2024.


Dalam laporan media Indonesia sebelum ini, Jokowi menyifatkan projek membangunkan Nusantara sebagai yang terbesar di dunia.


"Kami berani membuka pusat ekonomi baru, iaitu Nusantara dan projek terbesar dunia adalah di ibu negara Nusantara Indonesia," kata beliau.


Menurutnya, Nusantara mempunyai 34,000 hektar tanah yang boleh dibeli.


Beliau menambah: "Tiada yang percuma (di Nusantara). Pergi tanya ketua badan berkuasa bandar (Bambang Susantono) jika anda ingin tahu harganya. Ini adalah peluang."


Menurut anggaran awal pemerintah, jumlah kos untuk membangunkan Nusantara bakal mencecah 466 trilion rupiah (RM142 bilion).


Indonesia merancang menggunakan hanya bajet negara untuk membayar 20 peratus daripada jumlah kos itu, dengan selebihnya dibiayai oleh pelaburan swasta.


Pihak berkuasa Nusantara pada pertengahan Jun melaporkan bahawa projek mega itu telah mengumpulkan lebih 200 surat zahirkan hasrat (LOI).


Sekitar 106 daripadanya datang daripada pelabur domestik. Jepun menjadi pelabur asing paling menunjukkan minat pada Nusantara, mengemukakan 26 LOI.


Sumber: Berita Harian


Projek hotel pertama di Nusantara mula dibina

18 views
bottom of page