KUALA LUMPUR 15 Julai - Anak syarikat milik penuh WCT Holdings Berhad (WCT), WCT Berhad (WCTB) meraih kontrak bernilai RM214 juta daripada Kwasa Land Sdn Bhd untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan di Kwasa Damansara Township Development, Petaling Jaya.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, WCT Holdings berkata, kerja-kerja di bawah Kontrak dijangka siap dalam tempoh 30 bulan mulai 1 Ogos 2024 yang merupakan tarikh pemilikan.
"WCTB telah menyempurnakan dan menerima surat penganugerahan bertarikh 12 Julai 2024 yang dikeluarkan oleh Kwasa Land untuk melaksanakan kerja-kerja “Cadangan Pembinaan dan Penyiapan Kerja Infrastruktur Biasa Fasa 1 dan Laluan Bawah Kenderaan Baharu di Kwasa Damansara Township Development, PJU-4, Daerah Petaling, Selangor Darul Ehsan untuk Kwasa Land Sdn Bhd – Kontrak Pakej Kerja 02” untuk jumlah kontrak RM214 juta," katanya hari ini.
Jelas syarikat pembinaan tu, kerja-kerja di bawah Kontrak merangkumi, antara lain, pembersihan tapak, kerja-kerja perobohan, kerja-kerja tanah, kerja-kerja geoteknik, kerja-kerja jalan, struktur jambatan, struktur laluan bawah kenderaan, kerja-kerja saliran, retikulasi air, kerja-kerja pembetungan, kerja-kerja mekanikal dan elektrik, pembaikan sungai dan penyelenggaraan rutin.
"Tiada Pengarah atau pemegang saham utama Syarikat atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dalam pemberian Kontrak," ujarnya.
Sumber: Dagang News
WCT raih kontrak pembinaan bernilai RM214 juta daripada Kwasa Land
Comentarios