top of page

Warga asing monopoli kerja penduduk tempatan


Warga asing memonopoli kerja pengendalian jentera berat di tapak binaan di sekitar Cameron Highlands. - NSTP/Asyraf Hamzah

26 Oktober 2O19

CAMERON HIGHLANDS: Upah warga asing lebih murah menyebabkan sebahagian besar majikan di daerah ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga asing berbanding rakyat tempatan.


Sumber Orang Asli berkata, warga asing yang mengendalikan jentera berat misalnya menerima upah dua kali ganda lebih murah berbanding rakyat tempatan.


“Contohnya, pemandu kren warga asing menerima antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan,” katanya kepada BH.


Atas faktor itu, hampir semua sektor pekerjaan di kawasan tanah tinggi ini dimonopoli warga asing, sekali gus menutup peluang pekerjaan rakyat tempatan, khususnya penduduk setempat.


Kelompok itu dikesan semakin rancak menguasai sektor kuari, tapak binaan, perniagaan, pembersihan, perhotelan, perladangan dan logistik.


Lebih mengejutkan, sebahagian besar majikan menolak permohonan kerja penduduk setempat yang majoritinya adalah Orang Asli daripada kaum Semai kerana kekosongan jawatan itu diberikan kepada warga asing khususnya dari Bangladesh, Pakistan dan Indonesia.


Sumber Orang Asli berkata, mengambil contoh sektor pembinaan, lebih 10 projek membangunkan perumahan dan bangunan komersial sejak lima tahun lalu dimonopoli pekerja Bangladesh.


Tanpa Sijil Kompetensi Kemahiran Profesional yang diiktiraf, pekerja Bangladesh dikesan mengendalikan jentera berat seperti kren beroda, kren berantai, jengkaut, jentolak dan mesin menanam cerucuk.


“Akibat monopoli warga asing, penduduk tempatan gagal mendapat peluang pekerjaan di tapak binaan di Cameron Highlands yang majoritinya diduduki Orang Asli.


“Keadaan ini menyebabkan berlaku lambakan pekerja mahir dan kurang mahir dalam sektor binaan dengan dianggarkan 1,000 orang menganggur.


“Majikan memilih warga asing bagi menjimatkan kos operasi, tidak perlu membayar caruman pekerja dan insurans, tetapi sebaliknya menafikan hak rakyat tempatan, khususnya Orang Asli untuk mendapat pekerjaan di sini,” katanya.


Majikan mengitar semula pekerja asing daripada satu projek ke satu projek yang lain sehingga kelompok warga asing berkenaan bermastautin di daerah ini bertahun-tahun lamanya.


Sumber berkata, warga asing berkahwin dengan rakyat tempatan dan meneruskan hidup dengan membuka perniagaan serta mengusahakan tanah dimiliki oleh rakyat tempatan.


Katanya, bukan rakyat tempatan tidak berminat dengan kerjaya kotor, bahaya dan sukar (3D), tetapi mereka tidak diterima masuk dalam sektor ini.


“Malah Orang Asli yang datang mohon kerja ini rata-ratanya memiliki sijil kompetensi dan sijil kemahiran lain yang diiktiraf.


“Ekonomi rakyat tempatan kian terjejas saban tahun dan untuk meneruskan kelangsungan hidup, mereka pula terpaksa berhijrah ke daerah lain,” katanya.


Tiga laporan polis dibuat di Balai Polis Brinchang, sebelum ini, mengenai tindakan warga asing memonopoli jentera berat di tapak binaan di sekitar Cameron Highlands.


Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pekerja Mahir Kren Menara Malaysia (PERKREMA), Raziz Abd Rahman, berkata lambakan pekerja asing dalam sektor binaan khususnya mengendalikan jentera berat berpunca daripada sub kontraktor bersaing menawarkan harga terendah untuk mendapatkan projek membekalkan operator kren kepada kontraktor utama.


“Contohnya, peruntukan bagi sebatang kren menara adalah bawah RM10,000 sebulan tetapi kontraktor utama melantik sub kontraktor yang menawarkan harga lebih rendah untuk mendapatkan keuntungan lebih banyak.


“Ada sub kontraktor sanggup menawarkan RM3,000 sebulan bagi satu kren menara dan ia sangat tidak munasabah dengan risiko keselamatan yang tinggi kepada pekerja.


“Untuk menawarkan harga terendah, nyawa operator kren dipertaruhkan,” katanya.


Raziz sehubungan itu mencadangkan kerajaan menetapkan garis panduan tangga gaji kepada pengendali jentera berat supaya majikan tiada alasan untuk tidak menggajikan rakyat tempatan.


Kem tentera di Trisu, Telanok tutup punca lambakan

Lambakan pekerja asing di Cameron Highlands dikesan bermula selepas penutupan kem tentera di Trisu dan Telanok, sejak enam tahun lalu.


Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Tanah Rata Cameron Highlands, Mohd Faizal Mohd Zakkir, berkata pemerhatiannya mendapati warga asing mula masuk secara besar-besaran selepas itu.


Katanya, sebelum itu kemasukan warga asing bukan tahap membimbangkan seperti hari ini.


“Kini kita boleh lihat warga asing ada dalam semua sektor pekerjaan, malah sudah ada yang jadi tauke restoran, tauke perniagaan dan pemilik rumah inap.


“Peluang menjadi tauke berpunca daripada perkahwinan dengan penduduk setempat atau menyewa lesen perniagaan orang tempatan.


“Warga asing dilihat semakin selesa menetap dan bekerja di daerah ini. Bagaimanapun senario ini membimbangkan penduduk setempat kerana mereka terpaksa bersaing merebut peluang pekerjaan dengan warga asing,” katanya kepada BH.


Beliau menjelaskan satu pertiga daripada 7,000 Orang Asli di daerah ini adalah belia, tetapi sebahagian mereka belum mendapat kerja tetap.


“Ramai belia Orang Asli ada kemahiran, malah setiap tahun JAKOA menghantar mereka menjalani program latihan yang diiktiraf, ada yang diterima terus sejurus tamat latihan.


“Bagaimanapun, ramai berdepan kekangan diterima bekerja di sini kerana majikan lebih mengutamakan pekerja asing.


“Bayangkan sektor perhotelan dan dobi juga sudah dimonopoli warga asing,” katanya.


Beliau mendakwa, penguatkuasaan terhadap warga asing tidak dilakukan secara berterusan mungkin disebabkan kekangan logistik dan tenaga manusia.


“Cadangan penyelesaian segera dan mudah adalah buka semula kem tentera untuk mengawal selia kemasukan warga asing ke daerah ini,” katanya.


Comments


bottom of page