top of page

Tender projek MRT3 mula dibuka


MRT3 membabitkan lingkaran sepanjang 50.8 kilometer - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) hari ini membuka tiga pakej tender membabitkan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) kepada kontraktor yang layak.


Tender pertama ialah pakej CMC301 bagi mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, stesen bertingkat, depot dan lain-lain kerja berkaitan dari Pandan ke Jalan Cheras.


Pakej kedua CMC302 membabitkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, terowong, stesen-stesen, depot, struktur sampingan dan lain-lain kerja berkaitan dari Jalan Cheras ke Pantai Dalam serta Jalan Kuching ke Pandan.


Manakala bagi pakej terakhir iaitu CMC303 membabitkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, terowong, stesen-stesen, struktur sampingan dan lain-lain kerja berkaitan dari Pantai Dalam ke Jalan Kuching.


Taklimat tender untuk pakej CMC301 akan diadakan pada 9.30 pagi 8 Jun ini, manakala pakej CMC302 dan CMC303 pada jam 9.30 pagi dua hari selepasnya.


Semua taklimat akan diadakan menerusi platform atas talian Zoom.


Petender dikehendaki membuat pendaftaran secara atas talian sama ada di laman web MRT Corp www.mymrt.com.my; di https://forms.gle/JEQrQxxtFzVoQh7c8 atau mengimbas Kod QR yang boleh didapati di iklan tender berkenaan.


Pendaftaran untuk menghadiri ketiga-tiga taklimat ini boleh dibuat bermula hari ini dan petender yang telah mendaftar akan menerima Zoom ID dan pautan melalui e-mel untuk menyertai taklimat tender secara dalam talian.


MRT Corp menerusi kenyataan tender yang dikeluarkan hari ini menyatakan bahawa tarikh serahan bagi Tender CMC301 adalah pada 30 Ogos 2022, manakala bagi Tender CMC302 dan CMC303 adalah pada 2 Ogos 2022.


"Dokumen yang telah lengkap diisi hendaklah diserahkan tidak lewat dari jam 12 tengah hari.


Sebarang kelewatan di dalam penyerahan tender dokumen tidak akan diterima," menurut kenyataan itu.


Kenyataan itu menambah, Tender CMC301 dan CMC302 hanya terbuka kepada kontraktor tempatan.


Ia berkata, penyertaan kontraktor Bumiputera adalah diwajibkan dengan bilangan kontraktor yang menyertai usaha sama atau konsortium mestilah sekurang-kurangya 50 peratus daripada rakan usaha sama/konsortium.


"Kontraktor Bumiputera mestilah mempunyai Sijil Taraf Bumiputera (STB) yang dikeluarkan oleh Pusat Khidmat Kontraktor (PKK).


"Pegangan saham efektif Bumiputera 'Ultimate Beneficial Owners' hendaklah sekurang-kurangnya 31 peratus," katanya.


Sementara itu, Tender CMC303 terbuka kepada kontraktor tempatan, namun penyertaan kontraktor asing adalah dibenarkan dengan membentuk usaha sama atau konsortium bersama kontraktor tempatan.


Katanya, ekuiti penyertaan kontraktor asing tidak melebihi 49 peratus dalam syarikat usaha sama atau konsortium," katanya.


Kenyataan itu menambah, penyertaan kontraktor Bumiputera adalah diwajibkan, dengan bilangan kontraktor yang menyertai usaha sama atau konsortium mestilah sekurang-kurangya 33 peratus daripada rakan usaha sama/konsortium.


"Kontraktor Bumiputera mestilah mempunyai STB yang dikeluarkan oleh PKK.


"Pegangan saham efektif Bumiputera 'Ultimate Beneficial Owners' hendaklah sekurang-kurangnya 20 peratus," katanya.


MRT3 atau dikenali sebagai Laluan Lingkaran membabitkan lingkaran sepanjang 50.8 kilometer (km) meliputi 40.1km di laluan atas manakala 10.7km laluan bawah tanah.


Jajaran terkini projek itu juga berbentuk lingkaran sekitar Kuala Lumpur dengan 39km terletak di Kuala Lumpur dan 12km lagi di Selangor.


Sebanyak 31 stesen akan dibina sepanjang laluan MRT3 yang dijangka akan bermula secara berperingkat pada 2028.


MRT3 Laluan Lingkaran akan menambah baik kesalinghubungan yang diperlukan pengangkutan awam lain di Lembah Klang, merangkumi pusat pembangunan utama dan pinggir bandar serta membolehkan mobiliti keseluruhan perjalanan.


Sumber: Berita Harian

87 views
bottom of page