top of page

Kemalangan lori kontraktor: NIOSH sedia kerjasama kaji semula protokol keselamatan


Kemalangan lori kontraktor: NIOSH sedia kerjasama kaji semula protokol keselamatan
NIOSH sedia bekerjasama dengan PBT, kontraktor dan masyarakat untuk mengkaji semula dan meningkatkan protokol keselamatan bagi operasi yang melibatkan kenderaan di jalan awam. - Gambar hiasan 123RF.

Kemalangan lori kontraktor: NIOSH sedia kerjasama kaji semula protokol keselamatan

SHAH ALAM - Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), kontraktor dan masyarakat untuk mengkaji semula dan meningkatkan protokol keselamatan bagi operasi yang melibatkan kenderaan di jalan awam.


Pengerusinya, Chong Chien Jen berkata, langkah itu penting bagi memastikan kemalangan melibatkan lori air milik kontraktor pihak berkuasa tempatan (PBT) di Miri, Sarawak tidak berulang pada masa hadapan.


"NIOSH amat sedih dengan insiden ini kerana ia menunjukkan kepentingan melaksanakan langkah-langkah keselamatan yang ketat ketika menjalankan operasi melibatkan kenderaan berat di jalan raya.

"Semua pihak perlu memastikan keselamatan pekerja dan orang awam semasa operasi sedemikian dan NIOSH ingin menasihati majikan dan pekerja untuk mengamalkan kaedah yang dikenali sebagai Pengenalpastian Bahaya, Penilaian Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

"Melalui kaedah HIRARC, semua pihak terutamanya majikan akan dapat mengurangkan risiko dan meningkatkan keselamatan di tempat kerja secara proaktif.


"Ia juga selari dengan peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994), yang dengan jelas menggariskan tanggungjawab majikan termasuk kontraktor, subkontraktor serta pekerja untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.


Media pada 16 Apri lalu melaporkan, seorang pemandu maut manakala penumpangnya cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah lori di Jalan Airport di Miri, Sarawak.


Difahamkan, ketika kejadian, lori milik kontraktor PBT sedang melakukan tugas rutin di jalan terbabit.


Sementara itu, Chien Jen turut menekankan kepentingan lima langkah keselamatan dipatuhi majikan yang menjalankan operasi kenderaan di jalan awam agar antaranya meningkatkan kebolehihatan bagi kenderaan yang terlibat dalam operasi atas jalan dan tepi jalan serta harus dilengkapi dengan tanda amaran dan lampu amaran mencukupi agar kenderaan lain tahu mengenai kedudukan dan aktiviti mereka.


Kedua katanya, aspek pengurusan trafik menyeluruh dengan pihak terbabit perlu melaksanakan pelan pengurusan trafik yang baik termasuk menyediakan papan tanda sesuai, di kawasan operasi untuk melindungi pekerja dan pengguna jalan raya.


"Seterusnya, audit keselamatan berkala yang mana pemeriksaan perlu dijalankan terhadap peralatan dan kawasan operasi bagi memastikan pematuhan keselamatan berada pada tahap tertinggi.


"Langkah keselamatan lain ialah latihan dan pendidikan untuk semua kakitangan yang terlibat dalam operasi di jalan raya perlu dilaksanakan untuk memastikan mereka menyedari dan mahir dalam amalan keselamatan terkini dan langkah-langkah pengurangan risiko.


"Terakhir ialah kesedaran awam iaitu dengan meningkatkan pengetahuan mengenai kewujudan kenderaan yang menyediakan perkhidmatan di jalan raya dan keperluan untuk mengurangkan kelajuan dan sentiasa berhati-hati apabila melalui zon kerja mereka," katanya.


Sumber: Sinar Harian

Commentaires


bottom of page