top of page

JKKP keluar 2 notis larang kontraktor naik taraf projek di Melaka


JPPK keluar 2 notis larang kontraktor naik taraf projek di Melaka
Keadaan semasa kerja-kerja menambah baik laluan di kawasan projek pembesaran parit di Jalan Bukit Katil menghala persimpangan lampu isyarat Hospital Pantai Ayer Keroh, ketika tinjauan hari ini. Semalam, seorang pemuda maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal ditunggang mereka terbabas ke dalam parit berkenaan. - Foto BERNAMA

JPPK keluar 2 notis larang kontraktor naik taraf projek di Melaka

MELAKA: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka mengeluarkan dua notis larangan kepada kontraktor tapak projek menaik taraf pembentung sedia ada di Jalan Bukit Katil di sini, susulan kemalangan membabitkan tiga penunggang yang menyebabkan seorang maut, semalam.


JPPK Melaka dalam kenyataan di sini hari ini, memaklumkan notis larangan berkenaan dikeluarkan susulan kegagalan kontraktor memasang penghadang yang kukuh di sekitar kawasan korekan dan kegagalan meletakkan tanda amaran yang bersesuaian berserta pencahayaan yang mencukupi.


"Selain itu, satu surat arahan juga telah dikeluarkan kepada kontraktor untuk membuat notifikasi berkaitan aktiviti pembinaan kepada JKKP Melaka dan melantik Penyelia Keselamatan Tapak Bina (SSS) bagi menyelia aktiviti berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak bina.


"JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahu pun orang awam dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan serta pihak yang bertanggungjawab dalam kemalangan tersebut," katanya.


JPPK Melaka memaklumkan majikan atau kontraktor berkenaan bakal berdepan tindakan perundangan sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.


Mengulas lanjut, JPPK Melaka memaklumkan majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab mengenal pasti terlebih dahulu risiko atau bahaya di tempat kerja, membuat penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.


"Langkah berkenaan bertujuan mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya sebarang kemalangan termasuk kejadian yang berlaku semalam.


"Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," kata kenyataan berkenaan lagi.


Semalam, media melaporkan seorang pemuda maut manakala dua lagi cedera selepas motosikal ditunggangi masing-masing terbabas ke dalam lubang sedalam 3.2 meter, membabitkan projek menaik taraf pembentung sedia ada di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata kejadian kira-kira 6.30 pagi itu menyebabkan Haiqal Iman Mohd Shahruddin Abdul Qayyum, 20, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Chong Min Yang, 57, dan Mohd Zaim Bahrin, 31, cedera.



JKKP keluar 2 notis larang kontraktor naik taraf projek di Melaka

bottom of page