top of page

Kerja pemecahan bongkah batu ikut prosedur


Kerja pemecahan bongkah batu ikut prosedur
Kerja pemecahan bongkah batu di Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Kerja pemecahan bongkah batu ikut prosedur

GEORGE TOWN - Kerja pemecahan bongkah batu di Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan.


Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, kerja tersebut merupakan antara skop kerja utama bagi projek tersebut yang mana merupakan kali ke-600 dilaksanakan.


Menurutnya, pada kebiasaannya, tiada kejadian batu dan tanah terlontar dalam kuantiti yang besar dan melibatkan jarak yang jauh iaitu sekitar 100 meter dari lokasi peletupan.


"Merujuk kepada kejadian yang berlaku pada jam 11 pagi, Rabu terdapat kerosakan melibatkan kawasan kondominium Jay Series berpunca daripada bongkah tanah yang berterbangan kesan daripada kerja-kerja peletupan batu terkawal yang dijalankan di kawasan cerun projek di lokasi CH1875.


"Terdapat beberapa penemuan berdasarkan kesan yang diperoleh di tempat kejadian dan lokasi kerja letupan antaranya bongkah batu yang mempunyai garisan sesar (fault line).


"Fault line ini menyebabkan bongkah batu besar ini tidak berada dalam keadaan padu dan terdapat rongga-rongga kecil," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri pada Khamis.


Farizan menambah, rongga-rongga kecil tersebut mempunyai tekanan di dalamnya yang mana apabila bahan letupan meledak, ia menghasilkan bunyi dan tekanan yang kuat melebihi kebiasaan.


"Ini menyebabkan bongkah tanah meletup melebihi keluasan ruang yang ditutup oleh lapisan pelindung keselamatan dan kesannya bahan pelindung dalam bentuk bongkah tanah melayang jauh daripada jangkaan normal.


"Keduanya, jenis tanah di kawasan ini adalah daripada jenis laterit yang mana keadaan tanah akan berubah daripada keadaan berpasir kepada sifat tanah liat apabila mempunyai kandungan air yang tinggi.


"Curahan hujan lebat yang berlaku pada malam sebelum kejadian menyebabkan keadaan tanah berubah menjadi butiran bongkah tanah, seterusnya menyumbang kepada kerosakan kepada fasiliti termasuk kereta penghuni kondominium tersebut," jelasnya lagi.


Farizan berkata, bagi mengelakkan perkara tersebut berulang, pihak kontraktor telah diarahkan untuk mengambil beberapa tindakan penambahbaikan.


"Pihak kontraktor akan mengurangkan kedalaman gerudi dan berat bahan letupan bagi mengawal kekuatan kesan letupan.


"Selain itu, mereka akan memastikan pelindung keselamatan iaitu lapisan penutup tanah, jejaring besi, geotekstil dan guni pasir yang meliputi kawasan yang lebih besar serta menyeluruh daripada 1.8 kepada 2.4m dari letupan, untuk menampung kemungkinan masalah rongga batu dan keadaan luar jangka," katanya.


Menurutnya, pihak kontraktor juga akan menambah beban tanah di atas dan sisi dengan tambahan plat keluli dan blok 'kentledge' sebagai pelindung keselamatan tambahan bagi mengurangkan impak letupan.


"Pihak kontraktor juga telah mengambil tindakan pembaikan terhadap kerosakan yang telah berlaku kepada struktur fasiliti kondominium terbabit.


"Pengesanan pemilik kereta yang terlibat juga masih dalam tindakan pihak kontraktor," katanya.


Beliau berkata, sepatutnya batu dan tanah hanya akan terlontar pada jarak kurang 70 meter ketika kerja pemecahan bongkah batu di projek berkenaan.


Sementara itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memohon maaf kepada penduduk yang terlibat dan berharap kejadian tersebut tidak akan berulang.


Ini kerana menurutnya, kerja pemecahan bongkah batu di kawasan tersebut berbaki 200 kali lagi.


"Pihak kontraktor telah menjalankan 600 kali kerja pemecahan sejak Januari 2022. Masih ada 200 kali lagi kerja pemecahan akan dijalankan. Walaupun kejadian ini baru sekali, ia tidak sepatutnya berlaku.


"Kita berharap kontraktor pasukan akan sentiasa mempertingkatkan langkah-langkah keselamatan lagi bagi mengelakkan kejadian itu berulang lagi.


"Kita memohon maaf kepada penduduk berdekatan yang mengalami kerosakan dan pihak kontraktor akan bertanggungjawab untuk memulihkan kerosakan yang dialami," katanya.


Projek Pakej 2: Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam merupakan salah satu projek di bawah Komponen Jalan-Jalan Utama dan Laluan Ketiga (PMRT) dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang telah bermula sejak tahun 2021 bagi Seksyen 1 dan tahun 2022 bagi Seksyen 2 hingga Seksyen 6.


Setelah siap kelak, jalan raya bebas tol sepanjang 5.7 kilometer yang menghubungkan Bandar Baru Ayer Itam dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ini akan memendekkan waktu perjalanan daripada 40 minit ke sekitar 5 minit.


Sumber: Sinar Harian


Kerja pemecahan bongkah batu ikut prosedur

bottom of page