top of page

Paip pecah akibat hakisan punca krisis air Terengganu


Mamad ketika menjawab soalan lisan pada Sidang DUN terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengesahkan berlaku hakisan 80 meter pada kawasan paip utama yang pecah di Sungai Terengganu pada awal bulan lalu dipercayai disebabkan aktiviti pengorekan pasir.


Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Mamad Puteh berkata, sebanyak 12 pengusaha pasir telah beroperasi di kawasan tersebut sejak 10 tahun lalu namun kini hanya tujuh yang masih aktif.


“Pemeriksaan mendapati berlaku kelompongan di bawah jajaran paip air tersebut yang telah ditanam pada kedalaman 1.5 meter hingga 2 meter pada tahun 2006.


“Sehubungan itu, semua kerja-kerja pengorekan pasir di kawasan berkenaan telah dihentikan serta-merta dan tidak mungkin kebenaran akan diberi lagi pada masa hadapan,” katanya pada Sidang DUN Terengganu ke-14 di sini hari ini.


Terdahulu beliau menjawab soalan lisan Hishamuddin Abdul Karim (Pas-Tepuh) dan Bazlan Abd. Rahman (BN-Batu Rakit).


Mamad berkata, buat masa ini, sukar untuk menyalahkan mana-mana kontraktor projek pengorekan pasir terlibat kerana ia melibatkan ramai pengusaha dan hakisan itu berlaku dalam tempoh lama.


Begitupun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang tersebut agak kesal kerana semua agensi kerajaan termasuk Jabatan Bekalan Air dan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. tidak memaklumkan tentang kewujudan jajaran paip air berkenaan sewaktu meluluskan permohonan projek berkenaan pada tahun 2016 dan 2019.


“Kita telah mengarahkan Unit Tindakan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu untuk melakukan siasatan menyeluruh bagi memastikan insiden sama tidak berulang pada masa depan,” katanya.


Sumber: Kosmo!

3 views
bottom of page