top of page

Jalan berlubang teruk akibat paip pecah


Jalan berlubang teruk akibat paip pecah Berita Harian www.bharian.com.my
Keadaan jalan raya yang pecah akibat paip pecah menyebabkan sebuah kereta tersangkut di Jalan Batu 4, Jalan Pantai, Port Dickson. - NSTP/Mohd Khidir Zakaria

PORT DICKSON: Sebuah kereta tersangkut dalam lubang besar dipercayai akibat paip pecah di Batu 5, Jalan Pantai, di sini awal pagi tadi.


Pengguna jalan, Hamdan Sulaiman, 53, berkata dia lalu di jalan itu pada jam 7.30 pagi tadi dan berhenti untuk membantu sebuah kereta yang terperangkap dalam lubang di tengah jalan.


"Saya difahamkan ada paip pecah menyebabkan air melimpah di atas jalan raya bersebelahan Hotel Sri Bayu Resort, Port Dickson, sejak awal pagi lagi.


"Keadaan menjadi sesak apabila sebuah kereta Perodua Alza dengan tayar belakangnya tersangkut dalam lubang yang sudah dipenuhi air," katanya ketika ditemui di sini.


Katanya, nasib baik ada ramai warga tentera yang berhenti dan cuba membantu bagi menolak kenderaan itu.


Beliau berharap pihak berkaitan iaitu Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dapat segera membaik pulih paip pecah dan keadaan jalan dapat dibaiki segera oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana ia jalan utama ke kawasan pantai sekitar Port Dickson.


Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat SAINS, Norzita Ismail, berkata pihaknya akan mengambil tindakan segera bagi membaiki paip pecah di kawasan itu.


Mengenai insiden paip pecah di Batu 4, Jalan Pantai, berhampiran Hotel Bayu Beach Resort, beliau berkata, tindakan segera sudah diambil.


"Kerja-kerja pembaikan sedang giat dilaksanakan bermula pada jam 9 pagi tadi yang menyebabkan sebahagian jalan terpaksa ditutup kepada kenderaan awam bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan," katanya.


Sumber: Berita Harian


7 views
bottom of page