top of page

Syarikat bijih besi dakwa Terengganu enggan bayar kerugian RM15.3 juta


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat perlombongan bijih besi mendakwa dianiaya Kerajaan Terengganu menerusi syarikat Permint Minerals Sdn Bhd (PMSB) apabila enggan membayar kerugian keuntungan RM15.3 juta seperti diarahkan Mahkamah Rayuan.


Pengarah Urusan Golden Minerals Sdn Bhd (GMSD), Datuk Seri R Rajagopal, berkata bayaran itu diperintahkan bagi kerja perlombongan bijih besi di kawasan Padang Air Putih, Mukim Bandi, Kemaman, yang terhenti sejak tahun 2012.


Katanya, pelbagai usaha dijalankan pihaknya untuk menuntut bayaran kerugian keuntungan berkenaan terhadap PMSB yang juga anak syarikat Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), namun gagal.

“Mahkamah Rayuan pada 13 September tahun lalu memutuskan PMSB perlu membayar kerugian keuntungan sebanyak RM15,342,212.55 kepada GMSB dan Mahkamah Persekutuan juga mengekalkan keputusan itu, namun sehingga kini tiada bayaran dibuat,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.


Rajagopal juga mendakwa bertemu Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu, Datuk Azhar Abdul Hamid dan Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Timbalan Pengerusi PMINT, Datuk A Rahman Yahya pada 22 April lalu dan dimaklumkan kerajaan negeri tidak bertanggungjawab terhadap masalah PMSB.


“Malah, kami dimaklumkan PMSB juga tidak akan membayar kerugian keuntungan RM15.3 juta seperti diperintahkan Mahkamah Rayuan.


“Justeru, GMSB memfailkan petisyen penggulungan dan tarikh baharu pengurusan kes berkenaan ditetapkan pada 23 Jun depan,” katanya.


Rajagopal berkata, pada 2009, GMSB menawarkan kerjasama dengan PMSB, sekali gus dilantik kontraktor eksklusif sebelum memperoleh Sijil Kebenaran Melombong daripada Jabatan Mineral dan Geosains.


“Bagaimanapun, sejak 2009 hingga 2011, kami tidak mendapat kontrak kerja yang ditandatangani dan PMSB menghantar beberapa surat kepada GMSB untuk tidak memulakan operasi.


“Pada 2012, GMSB terpaksa memulakan kerja awalan di tapak perlombongan walaupun dibantah PMSB, namun terpaksa diberhentikan selepas enam bulan kerana Sijil Kebenaran Melombong tamat tempoh,” katanya.


Beliau mendakwa, pelbagai usaha menyelesaikan perkara itu sudah diambil termasuk melaporkan kejadian kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), namun tidak mendapat perhatian, justeru pihaknya merujuk perkara itu kepada mahkamah.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada proses undang-undang berhubung kegagalan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) berkenaan melunaskan kerugian keuntungan RM15.3 juta kepada GMSD.


Beliau berkata, setakat ini kerajaan negeri tidak dapat berbuat apa-apa kerana PMSB yang sudah dibubarkan.


"Kita tengok sajalah pada undang-undang apa akan jadi. Kerajaan negeri tak boleh buat apa-apa, apa kapasiti kerajaan negeri? Itu adalah antara urusan syarikat GMSD dengan PMSB.


Jadi saya rasa itu adalah keputusan perniagaan.


"Kalau syarikat (PMSB) itu ada masalah, tak kan kerajaan negeri nak suntik duit dalam GLC itu untuk bayar RM15.3 juta pula? Syarikat (PMSB) tak mampu bayar," katanya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa pegawai dan kakitangan kerajaan serta pemimpin masyarakat bersama Menteri Besar di Kediaman Seri Iman di sini.


Ditanya adakah PMSB adalah antara 50 syarikat GLC yang ditutup berikutan tidak lagi beroperasi dan tiada sebarang aktiviti perniagaan, beliau berkata ia sebenarnya ditutup lebih awal lagi.



57 views
bottom of page