top of page

Sunway Property beli tanah RM115 juta di Rawang


Sunway Property beli tanah RM115 juta di Rawang
Lokasi tanah dibeli oleh Sunway Property di Kuang, Rawang

Sunway Property beli tanah RM115 juta di Rawang

KUALA LUMPUR: Syarikat hartanah Sunway Bhd, Sunway Property menerusi anak syarikat milik penuhnya Sunway Rawang City Sdn Bhd (SRCSB) memeterai perjanjian jual dan beli (SPA) pada 2 Ogos 2023 untuk membeli tanah pegangan bebas perdana di Kuang, Rawang daripada Kauthar Equities Sdn Bhd pada pertimbangan pembelian RM115 juta.


Pengambilalihan dan cadangan pembangunan tanah itu akan dilaksanakan menerusi satu usaha sama antara Sunway City Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh Sunway dan Amal Resources Sdn Bhd, yang memeterai perjanjian usaha sama pada hari sama untuk melanggan dalam SRCSB sebagai syarikat usaha sama.


Terletak bersebelahan dengan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), tapak seluas seluas 245 ekar itu menyediakan sambungan yang baik dan hanya 35 minit pemanduan dari pusat bandar Kuala Lumpur, selain kira-kira sejam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang.


Lokasi yang baik itu menjadikannya kawasan yang ideal bagi cadangan Taman Teknologi Industri bagi melengkapi kawasan perindustrian yang sedang berkembang di Kuang dan Rawang seperti Kawasan Perindustrian Kuang dan Taman Perindustrian Rawang.


Taman Teknologi Industri itu akan terdiri daripada kilang, gedung dan komponen komersial dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekurang-kurangnya RM2 bilion.


Visi bagi Taman Teknologi Industri itu adalah untuk membina ekosistem mantap yang menyepadukan infrastruktur canggih, sambungan digital yang kukuh dan ciri-ciri lestari.


Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah, berkata syarikat teruja mengumumkan pembelian bidang tanah pegangan bebas strategik di Kuang, Rawang untuk menjadi tambahan kepada portfolio keseluruhan kumpulan.


Beliau berkata, pembelian itu mencerminkan dedikasi Sunway Property untuk membangunkan Taman Teknologi Industri yang menyepadukan teknologi, kelestarian dan inovasi bagi memenuhi keperluan perniagaan moden serta menambah kepada portfolio pembangunan perindustrian kumpulan yang semakin berkembang.


"Pembelian strategik ini adalah sejajar dengan komitmen Sunway Property untuk memacu inovasi, teknologi dan pembangunan lestari dalam sektor perindustrian sambil memenuhi keperluan perniagaan yang sedang berubah dalam era digital.


"Kami berharap dapat menyumbang ke arah merangsang inovasi, pertumbuhan ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan menarik pelaburan dengan projek baharu ini," katanya dalam satu kenyataan.


Trek rekod terbukti Sunway Property dalam pembangunan lestari dan komitmen syarikat untuk memanfaatkan teknologi akan memastikan Taman Teknologi Industri di Kuang, Rawang akan memenuhi permintaan dalam sektor perindustrian selain menetapkan penanda aras baharu bagi sektor itu secara keseluruhan.


Dengan jumlah simpanan tanah 3,068 ekar dan potensi GDV sebanyak RM49.7 bilion dalam tempoh lebih 15 tahun, Sunway Property berada dalam landasan tepat untuk mencatatkan pertumbuhan yang mampan.


Sumber: Berita Harian


Sunway Property beli tanah RM115 juta di Rawang


30 views

Comments


bottom of page