top of page

Sultan Terengganu lancar program labuh tukun tiruan


Sultan Terengganu lancar program labuh tukun tiruan
Sultan Mizan (duduk, kiri) menyaksikan penyelam Jabatan Perikanan memeriksa tukun tiruan yang dilabuhkan, hari ini. - Foto NSTP/Baharom Bakar

Sultan Terengganu lancar program labuh tukun tiruan

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan melancarkan program melabuhkan tukun tiruan di perairan Batu Burok, di sini, hari ini.


Sultan Mizan menaiki bot sejauh kira-kira 3.4 batu nautika daripada pesisir pantai Batu Burok untuk menyaksikan kerja-kerja melabuhkan tukun tiruan.


Keberangkatan Sultan Mizan disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalal dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.


Turut menyambut keberangkatan Sultan Mizan adalah Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah.


Sementara itu, Dr Azman berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM1 juta untuk pembinaan 40 tukun tiruan bagi membantu nelayan meningkatkan hasil tangkapan.


Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perikanan negeri akan melabuhkan 26 tukun tiruan di perairan Batu Rakit dan Rhu 10 di Setiu, secara berperingkat.


"Kesudian Sultan Mizan berangkat merasmikan program melabuhkan tukun tiruan membuktikan keprihatinan baginda kepada golongan nelayan, terutama nelayan pantai," katanya kepada media, di sini, hari ini.


Dr Azman berkata Jabatan Perikanan turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk melabuhkan tukun tiruan di perairan Pulau Kapas.


Katanya, kerajaan negeri menyasarkan dapat melabuhkan 500 tukun tiruan di perairan negeri ini dalam tempoh lima tahun bermula tahun depan.


"Sejak program melabuhkan tukun tiruan dan unjam tradisional dilakukan kerajaan, jumlah pendaratan hasil marin oleh nelayan terutama nelayan pantai meningkat setiap tahun," katanya.


Sumber: Berita Harian


Sultan Terengganu lancar program labuh tukun tiruan


コメント


bottom of page