top of page

18 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Kelantan


18 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Kelantan
Kerja-kerja melabuhkan tukun tiruan dilaksanakan di Kelantan pada Rabu.

18 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Kelantan

PASIR PUTEH - Sebanyak 18 unit tukun tiruan dilabuhkan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dengan kos RM660,000 di perairan Kelantan di sini pada Ahad.


Sebanyak 11 tukun konservasi dilabuhkan di Perairan Tok Bali di sini, manakala tujuh lagi di Kuala Besar, Kota Bharu yang dijalankan selama dua hari.


Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, jumlah peruntukan besar itu bertujuan membina habitat ikan dan hidupan marin lain serta memperkaya sumber perikanan di negeri ini.


Menurut beliau, hasil daripada melabuhkan tukun-tukun itu dijangka memberi manfaat kepada 4,191 nelayan di Kelantan.


“Tukun-tukun yang digunakan berbeza di pantai barat dan pantai timur serta disesuaikan dengan lokasi perairan.


“Di perairan Kelantan, tukun berfungsi dua dalam satu iaitu sebagai tempat pembiakan ikan dan menghalang pukat tunda,” katanya selepas Program Melabuh Tukun Tiruan Konservasi di Kompleks Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Tok Bali di sini, pada Ahad.


Adnan berkata, jabatan itu sentiasa menjalankan kajian dan pemantauan selepas melabuh tukun bagi mengenal pasti perubahan serta perkembangan yang berlaku di kawasan terlibat.


Dalam pada itu, katanya, sebanyak RM3.6 juta dibelanjakan bagi membina, melabuh dan memantau keberkesanan tukun tiruan sepanjang tempoh dari 2007 hingga 2023 di Kelantan.


Beliau berkata, jumlah keseluruhan tukun tiruan yang akan dilabuhkan di seluruh negara pada tahun ini ialah sebanyak 41 unit melibatkan lima negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan Selangor dengan kos berjumlah RM1.31 juta.


Sementara itu, Adnan berkata, pada tahun 2022, sebanyak 55,000 tan metrik pendaratan ikan dicatatkan dengan nilai borong berjumlah RM548 juta.


“Bagi tahun 2023 sehingga Mei, Kelantan mencatatkan pendaratan ikan sebanyak 23,000 tan metrik dengan nilai borong RM244 juta dengan Pasir Puteh menyumbang kepada 55 peratus daripada keseluruhan pendaratan ikan di negeri ini dengan nilai borong sebanyak RM101 juta.


“Empat spesies ikan yang mencatatkan pendaratan dalam tempoh itu ialah tongkol sebanyak 5,267 tan metrik, kembung (2,231 tan metrik), selayang (1,851 tan metrik) dan kerisi (1,623 tan metrik),” ujarnya.


Sumber: Sinar Harian


18 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Kelantan


Comentários


bottom of page