top of page

40 projek tebatan banjir di Kelantan, Terengganu


40 projek tebatan banjir di Kelantan, Terengganu
Gambar hiasan: 40 projek tebatan banjir di Kelantan, Terengganu

40 projek tebatan banjir di Kelantan, Terengganu

TUMPAT - Sebanyak 40 projek berkait Rancangan Tebatan Banjir (RTB), saliran mesra alam sedang dan akan dilaksanakan di Kelantan serta Terengganu.


Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kesemua projek tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).


"Kerajaan sentiasa berusaha untuk mengurangkan risiko banjir di seluruh negara melalui pelaksanaan RTB," katanya ketika sidang akhbar Program Gerak Kerja Pasca Banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Bendang Pa' Yong di sini pada Khamis.


Menurut beliau, pelaksanaan projek-projek RTB akan meningkatkan bilangan penduduk yang dilindungi daripada kesan banjir.


"Terdapat dua projek RTB utama yang sedang dilaksanakan ketika ini iaitu Projek Pembangunan Lembangan Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan dan Projek Pembangunan Lembangan Bersepadu (PLSB) Sungai Golok," katanya.


Ahli Parlimen Setiawan itu berkata, PLSB Sungai Kelantan sudah mencapai status kemajuan fizikal sebanyak 87.74 peratus dan dijangka siap pada 20 April tahun hadapan membabitkan kos berjumlah RM456 juta.

"PLSB Sungai Golok yang terdiri daripada tiga fasa. Fasa 1 KESBAN telah mencapai 71 peratus kemajuan fizikal dan dijangka siap sepenuhnya pada 13 Ogos 2024.

"Bagi fasa dua, status terkini adalah di peringkat tender. Surat setuju terima kepada kontraktor dapat dikeluarkan pada Mac 2023. Fasa tiga akan dilaksanakan melalui peruntukan 'off budget' melibatkan anggaran kos keseluruhan bagi pelaksanaan projek ini sebanyak RM2.156 bilion," katanya.


Nik Nazmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberi jaminan akan mempercepatkan PLSB Sungai Golok di Kelantan yang mampu mengurangkan bencana banjir seterusnya memberikan manfaat besar kepada penduduk sekitar.


"Kementerian telah arahkan JPS menyegerakan laporan berhubung PLSB untuk tindakan selanjutnya agar projek dapat diteruskan pada kadar segera yang mungkin," katanya.


Sumber: Sinar Harian


18 views

Comentários


bottom of page