Keselamatan nelayan, pekerja pelantar di perairan Terengganu terancam


Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU: Keselamatan nelayan laut dalam serta lebih 10,000 pekerja di 53 pelantar minyak utama di perairan negeri ini, didakwa terancam berikutan pencerobohan secara berleluasa nelayan Vietnam sejak tahun lalu.


Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim, berkata walaupun tangkapan sering dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), masalah itu masih berterusan.


Malah, katanya, jika satu bot nelayan Vietnam ditahan, akan muncul berpuluh lagi bot nelayan dari negara itu menceroboh perairan negara terutama di kawasan pelantar minyak untuk mengaut hasil laut negara.

Justeru, beliau meminta Kerajaan Persekutuan menggerakkan aset untuk mengawal perairan negara lebih agresif kerana ada laporan menyatakan pekerja di pelantar minyak bimbang keselamatan mereka terancam berikutan kehadiran bot nelayan asing itu.


“Kita bimbang, jika isu pencerobohan nelayan Vietnam ini tidak ditangani, keselamatan nelayan laut dalam dan pekerja di pelantar minyak terancam berikutan ada dakwaan mengatakan mereka turut membawa senjata ketika menangkap ikan di perairan negeri ini.


“Bagi menangani isu pencerobohan ini, Kerajaan Persekutuan terutama Kementerian Luar Negeri diminta mengemukakan bantahan diplomatik kepada Kesatuan Eropah (EU) dengan segera,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Ahmad Amzad berkata, surat bantahan diplomatik itu bagi membolehkan EU mengeluarkan kad merah iaitu larangan kepada negara Eropah supaya tidak mengeksport produk hasil laut dikeluarkan Vietnam.


“Saya difahamkan, tahun lalu EU sudah mengeluarkan ‘kad kuning’ kepada Vietnam sebagai amaran berikutan tindakan nelayan negara itu menceroboh perairan negeri ini dan negara,” katanya.

Berdasarkan statistik Maritim Malaysia, lebih 533 bot nelayan Vietnam menceroboh perairan negeri ini dan 32 daripadanya dikenakan tindakan mengikut Akta Perikanan 1985 dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM32 juta.


Ahmad Amzad juga meminta kerajaan memandang serius isu pencerobohan itu bagi mengelakkan negara kehilangan hasil laut berjumlah RM6 bilion setahun.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #Terengganu

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.