top of page

Sektor pembinaan rancak dengan projek infrastruktur mega


Sektor pembinaan rancak dengan projek infrastruktur mega
Terdapat rancangan untuk memulihkan semula lima lagi stesen LRT3 di Lembah Klang - Gambar hiasan

Sektor pembinaan rancak dengan projek infrastruktur mega

KUALA LUMPUR: Prospek dan penilaian positif dalam sektor pembinaan susulan pelancaran projek infrastruktur mega di seluruh negara terus meningkatkan sentimen pasaran.


Melangkah ke suku kedua 2024, peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM90 bilion daripada Belanjawan 2024 untuk membiayai projek mega sepatutnya akan memacu aliran kontrak pada tahun ini.


Firma penyelidikan seperti RHB Investment Bank Bhd, Kenanga Research, Hong Leong Investment Bank (HLIB) and Rakuten Trade Sdn Bhd amat optimis dengan prospek industri.


Antara projek mega itu termasuklah Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Pan Borneo Sabah Fasa 1, Transit Aliran Massa (MRT3), projek tebatan banjir berskala besar, Jalan Link Sabah-Sarawak, Sistem Pengangkutan Bandar Kuching-Jalur Hijau dan projek berkaitan air.


Pemberian kontrak pembinaan dijangka dilakukan pada separuh pertama tahun ini.

Terdapat juga rancangan untuk memulihkan semula lima lagi stesen LRT3 di Lembah Klang.


Mengenai projek MRT3 pula, kerajaan sedang dalam usaha mendapatkan tanah dengan pemberitahuan mengenai tanah yang dikenal pasti dijangka bermula pada suku kedua 2024, dimuktamadkan pada suku ketiga, dan pemberian kontrak pada suku keempat 2024.


Selain itu, kerajaan negeri Johor juga akan mengemukakan cadangannya kepada Kerajaan Persekutuan berhubung pembinaan LRT di Johor Bahru merangkumi tiga jajaran bagi mengurangkan isu kesesakan di negeri itu.


Johor juga disebut-sebut sebagai pasaran pusat data yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara, dan dengan semua cadangan projek ini, HLIB berkata, sepatutnya akan memacu lebih banyak aliran kontrak pada tahun ini.


Ketika banyak projek tertumpu kepada laluan kereta api, sesetengah kontraktor juga berharap memperoleh kontrak dalam projek berkaitan tenaga boleh baharu seperti Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).


Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Oliver HC Wee, memberitahu Bernama bahawa peruntukan belanjawan untuk industri pembinaan pada 2024 melebihi RM70 bilion.


Berdasarkan trend tahun-tahun sebelumnya, MBAM menjangkakan angka ini akan bertambah sehingga kira-kira RM100 bilion termasuk daripada sektor swasta dengan kontrak yang terdiri terutamanya daripada gudang, pusat data dan kilang menghasilkan semikonduktor.


"Dari segi prospek, kita perlu kekal neutral. Kos semakin meningkat dan terdapat banyak ketidaktentuan walaupun kerajaan menambah baik dasar pada peringkat makro untuk mengurangkan kos.


"Pada masa yang sama, penting untuk memanfaatkan inovasi dan teknologi dengan pihak berkepentingan industri bersedia untuk beralih bersama-sama ke arah pendigitalan," katanya.


Wee berkata, walaupun industri itu menuju ke arah hala tuju yang betul namun syarikat-syarikat perlu melakukan perubahan.


"Pemberian kontrak yang lebih adil perlu dilaksanakan kerana kita mahu menjalankan perniagan dengan cara yang lebih baik.


"Kami percaya variasi peruntukan harga (peningkatan) dalam kontrak akan memberikan risiko dan ganjaran yang lebih saksama antara pihak yang berkontrak dalam situasi harga bahan binaan yang turun naik. Ini seterusnya akan mengurangkan bilangan projek yang terbengkalai," katanya.


Dalam kalangan pemain industri juga menaruh keyakinan tinggi terhadap prospek industri itu.


Kerjaya Prospek Group Bhd optimis terhadap pertumbuhan industri pembinaan pasca COVID-19 meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk kenaikan harga bahan mentah.


Keuntungan teras tahun kewangan 2023 syarikat itu melonjak 20 peratus susulan pengebilan pembinaan dan hartanah yang tinggi.


Pengerusinya, Datuk Tee Eng Ho, berkata kemajuan projek berjalan lancar dan pantas kerana situasi semakin bertambah baik tanpa sebarang kebimbangan berhubung kekurangan tenaga kerja.


Beliau juga mengumumkan rancangan syarikat untuk mendapatkan peluang baharu dengan Samsung C&T Corporation melalui konsortium, Samsung-KP JV, menumpukan kepada pembinaan kilang di Malaysia dan peluang dalam projek Pulau Andaman Pulau Pinang, yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2 bilion.


Sementara itu, Pengarah Urusan Varia Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai Stella Holdings Bhd, Datuk Benson Lau, yakin terhadap pertumbuhan industri itu.


Projek paling utama adalah lima stesen baharu LRT di Lembah Klang yang bernilai RM4.7 bilion, program tebatan banjir seluruh negara bernilai RM11.8 bilion dan inisiatif LRT Pulau Pinang bernilai RM10 bilion, katanya kepada Bernama.


"Permintaan terhadap bangunan komersial dan kediaman meningkat apabila projek infrastruktur dan pelaburan swasta meningkat. Momentum positif ini sejajar dengan prospek pertumbuhan Varia, meletakkan syarikat di kedudukan yang baik untuk merebut peluang yang akan datang," kata Lau.


Varia, yang sebelum ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Sungai Klang Link Sdn Bhd bagi pembinaan projek lebuh raya bertingkat Sg Klang Link, berkata projek itu kini di peringkat awal perancangan dan pembangunan.


"Kami terbuka untuk meneroka peluang menyumbang kepada trajektori pertumbuhan kami. Nilai perolehan tender kami kini berjumlah RM1.5 bilion," katanya.


Varia juga menerima kontrak daripada Kator Construction Sdn Bhd untuk menjalankan projek tebatan banjir Sungai Klang di Seksyen 25, Shah Alam yang bermula pada 1 Februari 2024 dan garis masa dilanjutkan hingga 31 Januari 2029.


Tempoh tiga bulan pertama tahun ini menyaksikan prestasi kukuh industri dengan indeks pembinaan di Bursa Malaysia berada pada 193.83 pada 2 Januari 2024.


Indeks itu meningkat melepasi paras 200 antara Januari dan Mac dan berada pada 223.17 pada 29 Mac 2024.


Malaysia menyasar untuk mengubah landskap ekonominya melalui projek infrastruktur dan pendigitalan, yang telah meningkatkan saham berkaitan infrastruktur di Bursa Malaysia Bhd sejak separuh kedua 2023.


Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng memberitahu Bernama, saham pembinaan mencatatkan kenaikan 13.5 peratus setakat ini pada tahun ini.


"Dalam tempoh 12 bulan lalu, indeks pembinaan melonjak 37 peratus. Kami menjangkakan sektor ini akan menjadi salah satu kaunter yang mencatatkan prestasi terbaik pada 2024," katanya.


Perolehan kontrak baharu untuk tambah baik pendapatan syarikat Kenanga Research berkata, pendapatan syarikat seharusnya meningkat apabila kemajuan mula meraih momentum dengan pemberian kontrak yang tinggi.


Perolehan pendapatan sektor itu dijangka meningkat dengan ketara berbanding jangkaan suku keempat 2023, katanya.


Sebagai contoh, keuntungan teras suku pertama 2024 Gamuda Bhd meningkat 35 peratus susulan pengebilan pembinaan yang tinggi daripada projek Sydney Metro West dan pendapatan sulung daripada DT Infrastructure Pty Ltd.


Bagi kontrak baharu yang diperoleh, Gamuda menerajui dengan RM25 bilion dalam tempoh 24 bulan manakala kontrak JM Corp yang bernilai RM3.62 billion setakat ini bagi tahun kewangan 2024 telahpun melepasi unjuran RM3 bilion.


Sunway Construction pula memperoleh kontrak baharu bernilai RM3 bilion dalam tahun kewangan 2024, jumlah yang sama seperti WCT Holdings Bhd.


Kerjaya Prospek Group Bhd memperoleh RM377.9 juta setakat ini dan Kimlun Corp Bhd sebanyak RM133.6 juta.



Sektor pembinaan rancak dengan projek infrastruktur mega

bottom of page