top of page

Johor pelajari Sarawak untuk percepat pelaksanaan projek mega


Johor pelajari Sarawak untuk percepat pelaksanaan projek mega
Fazli (tiga kiri), Siaw (dua kanan) serta yang lain ketika tinjauan ke jejambat Lapangan Terbang Miri pada Khamis.

Johor pelajari Sarawak untuk percepat pelaksanaan projek mega

MIRI: Rombongan dari negeri Johor berada di bandar raya Miri untuk meninjau perkembangan dan mempelajari pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo di sini.


Rombongan seramai 25 orang itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh.


Mereka diberi penerangan tentang Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak Bahagian Miri - Seksyen Pujut, Pakej Kerja 11 (WPC11) ketika tinjauan ke jejambat Lapangan Terbang Miri bersebelahan Pasar Raya Emart pada Khamis. 


Seksyen Pujut yang melibatkan lebuh raya dari persimpangan Lapangan Terbang Miri ke Jalan Pujut Link merupakan sebahagian daripada WPC11 dengan panjang keseluruhan 14.563 kilometer.


Kemajuan fizikal sebenar pakej WPC11 ialah 97.15 peratus. 


Fazli berkata, antara tujuan lawatan ke Sarawak adalah untuk mempelajari cara kerajaan negeri membantu kerajaan pusat mempercepatkan pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo. 


Beliau memberitahu, ilmu yang dikongsikan kerajaan negeri akan dimanfaatkan untuk pelaksanaan projek mega di Johor seperti projek pelebaran lebuh raya PLUS. 


"Antara sebab (rombongan) Johor hari ini datang ke negeri Sarawak untuk tengok Pan Borneo sebab Johor akan ada satu projek mega, pelebaran lebuh raya PLUS.


"Ada dua fasa dari Senai ke Sedenak dan Sedenak sehingga Simpang Renggam. Lebih kurang RM1.5 bilion akan digunakan pada tahun ini.


"Kita nampak lebih kurang skop yang sama. Projek kerajaan pusat dibuat di negeri. Jadi kerajaan negeri kena bantu projek agar dapat disiapkan segera.


"Kita hendak tengok apa yang Pan Borneo telah buat, kita cuba nak laksanakan di lebuhraya PLUS di Johor," ujar beliau kepada pemberita. 


Pada Rabu, rombongan mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya, Kuching dan taklimat projek di Ibu Pejabat JKR Sarawak di sebelah petangnya.


Fazli teruja dengan pelaksanaan Pan Borneo yang banyak memanfaatkan rakyat dengan adanya kemudahan baharu seperti jambatan, laluan baharu serta kerja-kerja naik taraf jalan lama. 


Menurutnya, kedua-dua negeri mempunyai hasrat dan sasaran sama iaitu mahu muncul sebagai negeri maju pada tahun 2030. 


"Untuk menjadi negeri maju, perkara utama ialah perlu menyiapkan semua infrastruktur. Sebab itu kita berkongsi pengalaman. Timbalan Premier sebut mahu belajar dari Johor dan Johor belajar dari Sarawak. 


"Sebab dua tiga tahun ini, Sarawak banyak projek mega yang masuk (dari kerajaan pusat). Jadi, kita saling belajar," jelasnya. 


Hadir sama Pengarah JKR Johor Abu Bakar Abd Aziz dan Pengurus Zon Utara Cawangan Lebuh Raya Pan Borneo Siaw Ming Chian. 



Johor pelajari Sarawak untuk percepat pelaksanaan projek mega

bottom of page