top of page

Anwar arah percepatkan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah


Anwar arah percepatkan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah
PROJEK Lebuh Raya Pan Borneo Sabah yang sedang dalam pembinaan.

Anwar arah percepatkan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mengarahkan pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dipercepatkanselepas melihat kemajuan yang perlahan di negeri itu berbanding di Sarawak.


Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain Kementerian Kewangan, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof juga ditugaskan untuk memastikan pembinaan lebuh raya itu tidak lagi tertangguh.


“Saya sudah memberitahu Kementerian Kewangan dan dipersetujui untuk disegerakan. Asalkan ada proses perolehan dan tender, maka, kerajaan lakukan ‘fast track’ di Sabah.


“Ini disebabkan projek Pan Borneo sudah berpuluh tahun tertangguh dan peruntukan ada. Jadi, oleh kerana kerajaan sudah janji kepada rakyat Sabah dan Sarawak, tiada alasan untuk kerajaan lengahkan,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.


Selain itu, menurut beliau, ketika Kembara (Kenali Borneo) Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, perkara dibangkitkan baginda ialah mengenai Pan Borneo yang lebih bermasalah di Sabah dengan jalan yang teruk.


“Kadangkala, peruntukan disampaikan tetapi kelewatan dalam pelaksanaan,” katanya.


Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal [Warisan-Semporna] mengenai kelewatan projek Pan Borneo Sabah untuk disiapkan, selain masalah bekalan air yang berterusan disebabkan isu ketirisan.


PRASARANA

Sementara itu, Anwar mengakui Malaysia lewat dalam pembangunan dan menaik taraf prasarana di sempadan Sabah serta Sarawak dengan Kalimantan di Indonesia, berbanding yang dilaksana negara jiran itu.


Katanya, sebanyak RM1 bilion diluluskan tahun ini bagi kerja naik taraf prasarana dan keupayaan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sabah dan Sarawak, dengan kementerian berkaitan sudah diarah untuk menyegerakannya.


“Saya setuju kita terlewat berbanding Indonesia yang sudah maju. Kalau ICQS mereka, lebih baik kerana kita agak lewat.


“Namun, saya sudah minta Timbalan Perdana Menteri 11 untuk membantu menyelaras khusus untuk pembangunan di Sabah dan Sarawak, iaitu Projek Lebuh Raya Pan Borneo dan RM1 bilion untuk sempadan,” katanya.


Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau) mengenai peruntukan RM1 bilion berkenaan yang belum diberi sepenuhnya bagi pembangunan dan naik taraf prasarana di sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, termasuk CIQS dan jalan raya, yang menyebabkan pembangunan di kawasan itu terbantut, berbanding Indonesia.


Sumber: Utusan


Anwar arah percepatkan projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah


13 views
bottom of page