top of page

Semua jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dibuka hujung bulan ini


Semua jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dibuka hujung bulan ini
Lebuhraya Pan Borneo

Semua jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dibuka hujung bulan ini

Kuching: Semua jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dijangka dibuka sepenuhnya kepada orang awam menjelang penghujung bulan ini.


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia berdasarkan kemajuan projek itu yang kini mencapai 98 peratus siap.


Pencapaian itu menjamin perjalanan orang ramai untuk balik kampung pada musim perayaan Krismas dan tahun baharu akan lebih lancar.


Beliau berkata, ketika ini sebanyak 19 daripada 25 seksyen projek lebuh raya itu siap sepenuhnya dan sudah dibuka kepada orang awam.


"Bagi seksyen Bukit Bengunan yang terletak di bawah Pakej Kontrak Kerja 04 dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung Disember ini.


"Lima seksyen lagi iaitu seksyen Sarikei Tatau, Bintulu, Beluru dan sepanjang 34.5 kilometer seksyen Lambir akan siap sepenuhnya menjelang suku pertama tahun 2024," katanya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Impian Jadi Realiti Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di sini, malam ini.


Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.


Nanta berkata, pencapaian projek itu adalah kejayaan semua pihak yang terbabit sejak ia dimulakan pada tahun 2015.


"Sepanjang tempoh masa projek ini berlangsung, banyak cabaran dan dugaan dihadapi.


"Beberapa faktor dikenal pasti menyumbang kepada kelewatan penyiapan projek ini, seperti perubahan pendekatan daripada Rakan Pelaksana Projek (Project Dilevery Partner- PDP) ke kaedah konvensional, sekatan aktiviti pembinaan semasa pandemik Covid-19, sekatan kemasukan pekerja asing, kekurangan bekalan bahan pembinaan dan akhirnya menyebabkan peningkatan kos kepada operasi pihak kontraktor," katanya.


Menurutnya lagi, projek mega yang kini menjadi kenyataan itu sinonim dengan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang memperjuangkan supaya projek bernilai RM16 bilion itu dilaksanakan dari Telok Melano, Sematan sehingga ke Jalan Pujut Link di Miri sepanjang 786 kilometer.


"Kita tidak dapat menafikan peranan Allahyarham Tok Nan kerana beliau tidak berhenti-henti memperjuangkan projek ini bersama pucuk kepimpinan ketika itu sehingga ia terlaksana.


"Penghargaan harus juga diberikan kepada mantan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof kini Timbalan Perdana Menteri kerana projek bermula ketika beliau menerajui Kementerian Kerja Raya.


"Turut bertanggungjawab menjadi wakil negeri ini di peringkat Persekutuan memperjuangkan projek untuk Sarawak," katanya.


Nanta turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kerabat baginda kerana berkenaan mencemar duli bersama-sama rakyat Sarawak menyelusuri Lebuhraya Pan Borneo Sarawak pada program Kembara Kenali Borneo.


Sumber: Harian Metro


Semua jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dibuka hujung bulan ini

bottom of page