top of page

Elak projek mega jadi mangsa persaingan politik sempit


Elak projek mega jadi mangsa persaingan politik sempit
Gambar hiasan

Elak projek mega jadi mangsa persaingan politik sempit

Di sebalik kerancakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang berjalan, Belalang terpesona dengan kesediaan Kerajaan Malaysia untuk meneruskan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura) yang ditamatkan pada 31 Disember 2020.


Belalang kasihan dengan projek HSR ini yang menempuh nasib berbeza di bawah tiga pentadbiran Kerajaan Persekutuan, iaitu ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, kemudian Tun Dr Mahathir Mohamad dan selepas itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Ketika di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, projek HSR ini dibangkitkan semula dan seterusnya dipersetujui untuk dibina dengan kerjasama Singapura, hanya selepas memperoleh keputusan awal pada peringkat kerajaan.


Belalang masih ingat masa awal-awal projek HSR hendak dibina, banyak pihak menentangnya, termasuk dalam kalangan pemimpin pembangkang ketika itu yang kini takdirnya sudah menjadi kerajaan bahkan menganggotai Jemaah Menteri.


HSR adalah projek infrastruktur berimpak tinggi yang dikategori sebagai amat penting untuk memacu pertumbuhan dan pemulihan ekonomi negara, di samping dipromosi sebagai 'enjin' pertumbuhan dan alat transformasi ekonomi serta membantu mengubah Malaysia dari segi ekonomi, serta memantapkan lagi daya saing negara.


Belalang percaya, pada peringkat awal projek itu dicanang, banyak pihak melihat ia tidak ubah sebagai projek berbaur politik untuk meningkatkan imej kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika dipimpin Najib ketika itu.


Maka, apabila kerajaan BN tumbang pada 2018 pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), pemimpin kerajaan ketika bertindak menangguhkan projek itu atas alasan bebanan kos dan akhirnya sanggup membayar pampasan kepada Singapura apabila ia dibatalkan.


Bagi Belalang, projek HSR ini perlu dilihat dalam perspektif meluas, melangkaui metafora politik atau mesej untuk mengangkat martabat seseorang pemimpin atau parti tertentu.


Sebaliknya projek ini perlu dilihat dari sudut kepentingan ekonomi, terutama penjanaan sumber pendapatan pada peringkat mikro dan makro.


HSR perlu dilihat sebagai pelaburan ekonomi jangka panjang, sama seperti pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau projek mega lain, termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Projek seumpama ini tidak boleh dijadikan mangsa persaingan politik antara parti berseteru kerana membabitkan dana awam yang besar.


Mengorbankan projek berimpak tinggi hanya disebabkan persaingan politik dan kuasa bukan setakat merugikan negara, bahkan menonjolkan kelemahan dasar perekonomian dan perniagaan kerajaan dipimpin parti pemerintah ketika itu. Belalang amat berharap, projek HSR ini atau projek mega lain tidak dijadikan 'kambing hitam' lagi atau 'dipancung' hanya disebabkan perebutan kuasa politik.



Elak projek mega jadi mangsa persaingan politik sempit


bottom of page