top of page

HSR buka peluang kepada lebih banyak kontraktor tempatan


HSR buka peluang kepada lebih banyak kontraktor tempatan
Projek HSR akan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta - Foto hiasan

HSR buka peluang kepada lebih banyak kontraktor tempatan

KUALA LUMPUR: Pusingan terkini aktiviti permohonan maklumat (RFI) bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan memberi peluang kepada lebih banyak kontraktor untuk menghantar cadangan.


Penganalisis RHB Investment Bank, Adam Mohamed Rahim, berkata pada Mac lalu hanya lima syarikat iaitu Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), WCT Holdings Bhd, YTL Group Bhd, Berjaya Group Bhd dan MMC Corporation Bhd dijemput untuk RFI.


Beliau berkata, MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR) kemudian telah menjemput pihak-pihak yang berminat untuk menyertai pusingan terkini aktiviti RFI bagi projek HSR dari 12 Julai hingga 15 November.


"Memandangkan projek ini akan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta, kami berpandangan bahawa sebarang perkembangan penting selepas penilaian oleh kerajaan akan diketahui pada separuh kedua 2024," katanya dalam satu nota penyelidikan.


MyHSR sebelum ini telah menganugerahkan beberapa kontrak kerja membabitkan pembinaan projek mega itu sebelum ia dibatalkan pada 2021.


Konsortium MRCB dan Gamuda dilantik sebagai rakan pelaksana projek (PDP) bagi bahagian utara projek berkenaan, iaitu dari stesen Bandar Malaysia hingga ke bahagian selatan stesen di Melaka.


Manakala, konsortium TH Properties Sdn Bhd dan Syarikat Pembenaan Yeoh Tiong Lay diberikan mandat sebagai PDP bagi bahagian selatan, iaitu dari stesen di Melaka hingga sempadan antarabangsa antara Malaysia dan Singapura.


Adam berkata, berdasarkan kepada aliran kerja yang semakin meningkat, RHB Investment Bank mengekalkan saranan wajaran tinggi terhadap syarikat-syarikat yang terbabit dalam sektor pembinaan.


"Kami masih optimis dengan sektor ini dengan aliran berita terkini mengenai HSR Kuala Lumpur-Singapura.


Malaysia Timur juga memperlihatkan kemajuan yang baik dalam projek-projek prasarana seperti Transit Aliran Autonomi Kuching (ART) yang dibiayai kerajaan negeri.


"Pemangkin jangka dekat mungkin membabitkan proses tender semula bagi pakej rangkaian Sistem Transit Aliran (RTS) Johor Bahru-Singapura dan kelulusan untuk Transit Aliran Ringan (LRT) yang menghubungkan Pulau Pinang dengan Seberang Perai.


"Pilihan utama kami ialah Gamuda, Sunway Construction dan Kerjaya Prospek," katanya.


Dalam pada itu, Adam berkata bilangan permohonan baharu untuk pekerja pembinaan di negara ini mencecah 151,500 pada separuh pertama 2023 menurut data daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).


Katanya, jumlah ini adalah 66 peratus daripada angka yang dicatatkan tahun lalu, sejajar dengan aliran kerja lebih tinggi daripada sektor swasta yang dinilai pada RM39 bilion berbanding kerja-kerja sektor awam bernilai RM9 bilion untuk separuh pertama tahun ini.


"Meskipun begitu, penganugerahan kerja daripada sektor awam dijangka akan meningkat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) selesai pada Ogos (jika kerajaan sekarang dikekalkan).


"Hal ini termasuklah projek LRT Bayan Lepas dan mungkin juga Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang dilanjutkan tempoh sah tendernya kepada akhir September berbanding akhir Jun," katanya.


Sumber: Berita Harian


HSR buka peluang kepada lebih banyak kontraktor tempatan


コメント


bottom of page