top of page

Pastikan HSR tak ulangi kesilapan sama


Pastikan HSR tak ulangi kesilapan sama
Gambar hiasan: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura

Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura

Pengumuman pelaksanaan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura bakal dibiayai sepenuhnya pihak swasta mendapat impak positif kepada pasaran saham apabila indeks Bursa Malaysia melonjak 15.86 peratus kepada 1412.09 mata, minggu lalu. Malah menurut penganalisis kewangan, pasaran hartanah Johor turut beroleh suntikan baharu.


Projek HSR melalui pasang surut sejak idea keperluan pengangkutan ala bullet train itu diapungkan akhir 1990-an. Hanya pada 2011 baru kerajaan menugaskan Suruhanjaya Pengangkutan Darat Awam (SPAD) melaksanakan kajian prakebolehlaksanaan untuk mencerakinkan potensi pemboleh ubah makroekonomi, magnitud pelaburan serta kesan impak ekonomi, sebelum penilaian kebolehlaksanaan dengan menumpukan makro projek dan aspek lebih kritikal pada 2012.


Prospeknya semakin jelas apabila mesyuarat di Pemukiman Pemimpin Singapura-Malaysia membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong bersetuju meneruskan projek itu pada Februari 2013, membawa kepada memorandum persefahaman pada 19 Julai 2016 dan perjanjian dua hala ditandatangani, penghujung tahunnya.


Bagaimanapun, perubahan politik pada 2018 dengan Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin kerajaan baharu menjadikan projek HSR dalam fasa 'surut', manakala kemelut pentadbiran negara bertukar menyaksikan bukan sahaja ditangguh, malah Malaysia terpaksa membayar ganti rugi hingga akhirnya ditamatkan pada 1 Januari 2021. Namun pada tahun ini, ia kembali mendapat perhatian di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta.


Hakikatnya, pengurusan kewangan negara ketika ekonomi lembap tidak seperti menguruskan 'saku' isi rumah dengan memotong perbelanjaan. Negara perlu projek mega ketika ekonomi perlahan untuk memacu pertumbuhan, rancakkan industri hiliran dan huluan berkaitan, buka peluang pekerjaan dan gerakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).


Justeru, kita yakin pelaksanaan semula projek HSR sangat diperlukan untuk pemulihan ekonomi tanpa menafikan keperluan mengambil kira semua aspek termasuk kewangan negara. Namun, kita meminta kerajaan menimbang cadangan supaya tidak diserahkan sepenuhnya kepada pihak swasta, termasuk menentukan jajaran untuk memastikan manfaatnya melimpah kepada kawasan strategik disasarkan, sekali gus nikmatnya dirasai rakyat terbanyak.


Bagi tujuan itu, pelaksanaan HSR perlu dibuat berdasar kerjasama awam-swasta dengan MyHSR Corporation yang diwujudkan sejak awal lagi memantau projek ini bagi pihak kerajaan. Ini untuk mengelak kita mengulangi kesilapan sama seperti penswastaan projek transit aliran ringan (LRT) 1 (Putra-Kelana Jaya) dan 2 (STAR-Ampang) serta KL Monorel yang terpaksa diselamatkan dan diambil alih Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) milik kerajaan.


Kita meminta pelaksanaan projek HSR dibuat penuh integriti dan amanah, sekali gus memastikan tiada ketirisan serta salah guna kuasa, termasuk mengetatkan proses tender untuk mengelak usahawan tiruan atau kontraktor ali baba dan memantau perkembangannya supaya mengikut jadual. Kita yakin projek mega sebegini hanya memberikan pulangan kepada negara dan rakyat jika dibuat penuh telus, sekali gus tidak menjadi gajah putih membebankan seperti pepatah 'hendak menangguk ikan, tertangguk akan batang'.


Sumber: Berita Harian


Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura

21 views

Comments


bottom of page