top of page

Sabah perlukan RM11.5 bilion naik taraf loji rawatan air


Gambar hiasan. - Foto NSTP

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menganggarkan peruntukan RM11.5 bilion diperlukan untuk menaik taraf semua loji rawatan air (LRA) bagi menyelesaikan isu kekurangan bekalan air bersih yang berlarutan sekian lama di negeri itu.


Pembantu Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Limus Jury, berkata kerajaan negeri sedang menilai kaedah mendapatkan dana besar itu termasuk memohon peruntukan atau pinjaman daripada kerajaan Persekutuan.


"Kementerian Kerja Raya Sabah mempunyai cadangan menaik taraf semua loji bekalan air di Sabah kerana masalah bukan saja berlaku di kawasan tertentu seperti di Kemabong, malah banyak lagi tempat lain.


"Namun, usaha itu memerlukan perbelanjaan besar kerana saya difahamkan RM11.5 bilion kos untuk menaik taraf semua loji itu," katanya pada sesi soal jawab Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.


Limus menjawab soalan tambahan Datuk Rubin Balang (BEBAS-Kemabong) mengenai peruntukan loji rawatan air dicadang dibina di Kemabong bagi mengatasi masalah bekalan air.


Menjawab soalan asal Datuk Seri Salleh Said Keruak (BN-Usukan) mengenai inisiatif Kementerian Kerja Raya Sabah menyelesaikan masalah bekalan air di pedalaman, Limus berkata, usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).


Kerjasama menerusi projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dengan Jabatan Air Sabah (JAS) itu, katanya, bagi memastikan 100 peratus kawasan luar bandar menerima bekalan air menjelang 2035.


Katanya, setakat ini sebanyak RM2.53 bilion diluluskan kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dengan sebahagian projek sedang dilaksanakan, manakala sebahagian lagi masih dalam kajian.


"Dalam Belanjawan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk tahun depan, kerajaan Persekutuan meluluskan tambahan RM450 juta untuk projek BALB di lima kawasan baharu.


"Ia membabitkan Kemabong, Tenom sebanyak RM50 juta; Kiulu dan sekitar Tuaran (RM180 juta); Ranau (RM160 juta); Sook (RM50 juta) serta Kampung Ulu Bakut, Tuaran (RM10 juta).


"Semua projek ini perancangan jangka panjang dilaksanakan dalam RMK-12 bermula tahun depan hingga 2025," katanya.


Bagaimanapun, katanya, pihaknya berharap kerajaan negeri dapat memberikan dana tambahan bagi melaksanakan kerja awalan seperti reka bentuk, pengambilan tanah, siasatan tanah dan kerja pengukuran tanah bagi memastikan projek terbabit berjalan lancar.


Selain bekalan air luar bandar, Limus berkata, usaha juga dilakukan untuk menangani masalah bekalan air di bandar termasuk Kota Kinabalu.


Beliau berkata, kementeriannya akan melaksanakan projek Bekalan Air Kota Kinabalu Fasa III bagi menggantikan cadangan Empangan Papar atau Kaiduan yang dirancang sebelum ini ke arah mengatasi masalah bekalan air di sekitar ibu negeri dan Papar.


Sementara itu, menjawab soalan tambahan Jannie Lasimbang (DAP-Kapayan) mengenai status Empangan Papar, Limus berkata, penilaian semula kesesuaian projek itu akan dilaksanakan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS).


Empangan Papar atau sebelum ini dikenali Empangan Kaiduan dibantah penduduk setempat yang bimbang projek itu menjejaskan alam sekitar dan kedudukan hak tanah adat (NCR).


13 views
bottom of page