PENDUDUK Kampung Tanjung Tokong di Georgetown membantah projek rumah bandar bertingkat yang dijalankan pemaju berhampiran kediaman mereka yang didakwa terdedah dengan risiko tanah runtuh.
Ia berikutan masalah yang dihadapi sejak 2018 itu mendatangkan keresahan kepada penduduk selepas berlaku banjir lumpur kira-kira dua bulan lalu.
Seorang penduduk, Abdul Wahab Osman, 70, berkata, kawasan cerun itu sebelum ini ditumbuhi pokok dengan akar yang mencengkam tanah namun sudah ditebang dan dibersihkan bagi menjalankan projek berkenaan.
Menurutnya, tebing yang sudah dibersihkan hanya ditutup dengan kanvas dan dan kepingan zink sebagai penghadang.
Katanya, sejak itu kerap kedengaran batu kecil terjatuh di atas bumbung kediaman penduduk yang terletak hanya kira-kira dua meter dari cerun itu.
"Pernah berlaku kejadian banjir lumpur dua bulan lalu, walaupun masih terkawal namun kami bimbang jika sesuatu yang buruk terjadi kelak.
"Mungkin sekarang kita lihat hanya batu kecil 'terbang' di atas rumah penduduk, manalah tahu jika ada batu yang lebih besar pula bergolek ke rumah kami kelak, " katanya ketika ditemui hari ini.
Seorang lagi penduduk, Jamil Selamat, 46, berkata, bunyi jentera mengorek tanah di kawasan itu terlalu kuat dan dia juga bimbang hendak meninggalkan keluarganya di rumah.
Menurutnya, dia tidak membantah sekiranya pemaju hendak mengambil tanah rumahnya bagi membangunkan projek itu namun perlu memberi penempatan baharu kepada penduduk.
"Kami mohon supaya projek berkenaan dihentikan dahulu kerana apabila hujan, kami yang menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda berikutan banjir lumpur.
"Kalau terjadi apa-apa kepada keluarga kami, siapa yang akan bertanggungjawab? Takkan hanya dengan meminta maaf?" katanya lagi.
Terdahulu, kira-kira 20 penduduk mengadakan bantahan secara aman bagi mendesak pemaju menghentikan kerja pembangunan itu selain campur tangan pihak yang berkenaan.
Tinjauan mendapati, rumah penduduk terlalu hampir dengan tapak projek berkenaan.
Difahamkan, wakil penduduk sudah beberapa kali berusaha mengatur rundingan bersama pemaju dan beberapa pihak yang berwajib, namun gagal.
Sementara itu, usaha untuk mendapatkan pemaju projek perumahan terbabit untuk mengulas mengenainya tidak berjaya apabila gagal dihubungi berikutan cuti umum hari ini.
Sumber: Harian Metro
Comments