KUALA LUMPUR: Pelaksanaan projek pengangkutan dan logistik baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) di Parlimen, kelmarin, hendaklah dilihat secara menyeluruh dari aspek pemeliharaan, penjagaan dan kualiti bahan digunakan.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Logistik dan Pengangkutan, Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rohafiz Sabar, berkata pemeliharaan serta penjagaan yang baik adalah aspek sama penting dalam pembangunan infrastruktur.
"Pembangunan fizikal seperti pembinaan lebuh raya, jambatan dan lapangan terbang, adalah langkah penting dalam meningkatkan kemudahan pengangkutan negara.
"Namun, pemeliharaan berterusan infrastruktur terbabit adalah kunci untuk memastikan ia berfungsi dengan baik dalam jangka panjang," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, pemeliharaan dan penjagaan yang cekap membantu memastikan kebolehgunaan infrastruktur sedia ada serta memastikan ia beroperasi dengan efisien.
"Dalam konteks Malaysia, ia adalah faktor penting kerana negara ini mempunyai rangkaian infrastruktur yang luas, termasuk lebuh raya, jaringan rel, pelabuhan dan lapangan terbang yang perlu dijaga dengan baik.
"Walaupun projek-projek infrastruktur besar telah dibina, masih ada cabaran dalam memastikan infrastruktur ini terus berfungsi dengan baik selepas dibina," katanya.
Mengenai pembangunan pelabuhan baharu di Pulau Carey pula, beliau berkata, ia mempunyai potensi besar untuk memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.
"Kita perlu mengenal pasti kedudukan strategik kita dan menilai keupayaan kargo kita.
Apabila kita mendapat peluang pembangunan di Pulau Carey, ia boleh berperanan sebagai titik kawalan untuk laluan kapal antarabangsa masuk dan keluar.
"Pelabuhan baharu di Pulau Carey menjadi pelengkap kepada Pelabuhan Klang. Infrastruktur sedia ada berkemungkinan telah mencapai hadnya.
"Konsep untuk Pulau Carey nampaknya sejajar dengan Pelabuhan Klang, dan integrasi ini dapat meningkatkan ekosistem sekitar Pelabuhan Klang," katanya.
Beliau juga merujuk kepada impak positif pembangunan di Pulau Carey yang dapat dibawa untuk komuniti setempat, termasuk peningkatan peluang pekerjaan dan ekonomi di kawasan terbabit.
Sementara itu Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengurusan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Norashida Othman, berkata pembangunan infrastruktur pengangkutan memainkan peranan penting bukan hanya dalam jangka pendek tetapi juga jangka panjang.
"Ini kerana pembangunan infrastruktur yang berkesan tidak hanya meningkatkan kecekapan operasi, tetapi turut menyumbang kepada pengurangan kos dan menarik pelabur asing.
"Malaysia adalah negara kecil yang agak bergantung pada eksport sebagai sumber pendapatan. Oleh itu, jelas infrastruktur logistik yang kukuh adalah penting. Infrastruktur seperti ini dapat memberikan dukungan besar kepada ekonomi kita," katanya.
Seterusnya, beliau berkata, kualiti infrastruktur juga antara aspek yang perlu dititikberatkan.
"Tidak digalakkan untuk tergesa-gesa dalam pembangunan infrastruktur kerana ia boleh menyebabkan hasil yang tidak memuaskan. Justeru, tumpuan juga perlu diberikan kepada aspek kualiti infrastruktur itu sendiri.
"Memandangkan keadaan cuaca yang unik di Malaysia, termasuk panas teruk, hujan dan banjir yang kadangkala berlaku, adalah penting untuk memilih dengan teliti bahan-bahan akan digunakan sebelum memulakan sebarang projek.
"Kos pemulihan boleh menjadi sangat mahal, dan kita perlu berusaha mengelak perbelanjaan tidak perlu. Oleh itu, saya percaya kerajaan juga sebaik-baiknya menitikberatkan kualiti bahan binaan sebagai antara pertimbangan utama dalam pembangunan infrastruktur," katanya.
Sumber: Berita Harian
Projek pengangkutan, logistik baharu perlu tumpu aspek pemeliharaan dan kualiti
Comments