top of page

Projek pembinaan perlu ambil kira perubahan iklim


Projek pembinaan perlu ambil kira perubahan iklim
Beberapa kajian meletakkan cuaca antara menyebabkan gangguan, kelewatan dan lebihan kos dalam projek pembinaan. - Foto hiasan

Projek pembinaan perlu ambil kira perubahan iklim

SEBAGAI pemacu ekonomi utama, sektor pembinaan menyumbang 7.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2023 berbanding berbanding sektor seperti perkhidmatan 7.2 peratus, perlombongan dan kuari (2.4 peratus) dan pertanian (0.9 peratus).


Namun, Malaysia mengalami iklim Khatulistiwa bercirikan cuaca panas dan lembap sepanjang tahun yang memberi kelebihan dalam sektor pertanian, tetapi tidak kepada sektor pembinaan jika kerap hujan, ribut petir dan angin kencang.


Ini menjadikan industri pembinaan terdedah secara langsung kepada cuaca. Antaranya, kelewatan penyiapan aktiviti projek mengikut perancangan.


Bagaimanapun, pengaruh cuaca adalah faktor alam semua jadi yang tidak dapat dikawal manusia. Kesukaran meramalkan variasi cuaca boleh menjadi faktor mempengaruhi kerja harian projek.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

Beberapa kajian meletakkan cuaca antara menyebabkan gangguan, kelewatan dan lebihan kos dalam projek pembinaan.


Hujan dan angin kencang menghalang keupayaan pekerja melaksanakan kerja secara optimum, manakala kontraktor serta subkontraktor terpaksa memberhentikan kerja di tapak binaan disebabkan cuaca buruk.


Hujan lebat berterusan juga boleh mengakibatkan air bertakung, seterusnya menyumbang kepada banjir kilat. Apatah lagi sekiranya sistem saliran air sedia ada tidak dapat menampung jumlah air hujan banyak.


Bahan binaan ditenggelami air akan rosak dan tidak dapat digunakan, sedangkan jentera pula tidak dapat beroperasi secara biasa dan mungkin juga rosak jika tidak disimpan di tempat selamat.


Selain itu, faktor keselamatan pekerja perlu diutamakan ketika hujan lebat. Dalam situasi ini pekerja tidak dapat menjalankan operasi contohnya di bangunan tinggi agar tidak merisikokan keselamatan mereka.


Risiko renjatan elektrik

Ia juga akan menghalang pekerja daripada melakukan kerja menggunakan kuasa elektrik kerana risiko renjatan elektrik adalah tinggi.


Laluan keselamatan juga menjadi kurang baik untuk digunakan. Pekerja perlu mengikuti protokol keselamatan dan tidak digalakkan bekerja sehingga hujan reda.


Dari segi kesihatan dan produktiviti pekerja pula, air hujan bertakung serta tidak dipantau menjadi tumpuan habitat nyamuk, termasuk denggi. Air tercemar pula merisikokan jangkitan penyakit bawaan air kepada mereka.


Justeru, pengetahuan dan kepakaran mengenai trend cuaca semasa dalam kalangan kontraktor dan pemaju pembinaan adalah penting, terutama untuk merangka penjadualan projek.


Ini untuk mengelak kerja binaan penting dirangka sewaktu musim hujan, selain membolehkan tambahan masa munasabah dimasukkan dalam penjadualan kerja.


Pemantauan berterusan oleh penyelia tapak dan projek juga perlu disokong data cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) bagi mengetahui trend cuaca semasa. Dengan cara ini, kelewatan projek dapat diatasi apabila maklumat cuaca turut diambil kira semasa proses merangka jadual projek.


Penyediaan tempat penyimpanan bahan dan jentera binaan baik serta terlindung daripada gangguan cuaca juga sangat penting untuk mengelak ia daripada terdedah kepada risiko kerosakan.


Pemeriksaan berkala perlu dibuat untuk memastikan kawasan penyimpanan kekal utuh untuk mengurangkan risiko kesan faktor cuaca setempat.


Kaedah ini dapat menjimatkan kos binaan, mengurangkan kos tambahan dan memperbaiki struktur binaan yang mungkin mengalami sedikit kecacatan disebabkan gangguan cuaca.


Selain itu, peraturan keselamatan perlu dipatuhi pekerja untuk mengelak kejadian tidak diingini. Majikan perlu memastikan tiada yang bekerja dan menghentikan kerja pembinaan jika berhadapan cuaca ekstrem.


Oleh itu, dalam keadaan perubahan cuaca semakin meningkat, sektor pembinaan perlu mengambil kira faktor cuaca bagi tujuan merancang. Sebenarnya penyelarasan data produktiviti untuk keadaan cuaca tertentu boleh menjangka tempoh bagi kesiapan projek dengan anggaran kos boleh dipercayai.


Penulis adalah Penyelidik Utama Centre of Sustainable Infrastructure and Environmental Management (CSIEM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)


Sumber: Berita Harian


Projek pembinaan perlu ambil kira perubahan iklim


Comments


bottom of page