top of page

Kejadian tanah mendap di Karak boleh berulang


Kejadian tanah mendap di Karak boleh berulang
Tanah mendap di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak yang menyebabkan laluan di Kilometer 66.1 ditutup sementara Selasa minggu lalu. - Foto pembaca

Kejadian tanah mendap di Karak boleh berulang

KUALA LUMPUR: Kejadian tanah mendap berhampiran Plaza Tol Bentong akibat pembinaan terowong laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibimbangi boleh berulang, berikutan punca geologinya dilihat begitu ketara.


Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah, Dr Nor Shahidah Mohd Nazer, berkata jika keadaan itu boleh dikesan lebih awal, langkah mitigasi bersesuaian boleh diambil segera tanpa memberi mudarat kepada keseluruhan projek.


"Langkah mitigasi itu adalah membabitkan teknik pengukuhan dasar yang biasa di dalam kejuruteraan seperti grouting (turapan atau penggalian)," katanya kepada BH.


Beliau mengulas kejadian mendapan berhampiran Plaza Tol Bentong di Kilometer (KM) 66.1, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak yang berlaku kira-kira 8.30 malam, Selasa lalu, sekali gus menyebabkan penutupan kedua-dua arah lebuh raya itu.


Pada masa sama, Nor Shahidah berkata, pemantauan keadaan di permukaan serta kawasan sekeliling perlu dilakukan setiap masa, bukan hanya membabitkan zon pengorekan terowong.


Selain itu, katanya, perlu juga ada pemantauan terhadap tanda rekahan secara membulat yang boleh dicerap pada permukaan, terutama di kawasan yang mana bahagian dasarnya dikorek.


"Ini kerana ia menunjukkan wujud canggaan yang aktif menyebabkan kawasan di bahagian atas bergerak turun secara perlahan, ...ini adalah masalah setempat dan saya pasti ia diluar jangka setelah banyak faktor keselamatan dipertimbangkan pihak ECRL.


"Walaupun demikian, isu seperti ini agak biasa bagi kawasan yang mengalami pengorekan secara melintang kerana canggaan yang berlaku pada bahagian sub-permukaan pasti akan memberi impak kepada permukaan," katanya.


Beliau berkata, pihaknya percaya, ECRL mempunyai prosedur operasi pengorekan yang ketat dan terancang, namun perkara luar jangka sebegini tidak boleh dipukul rata sebagai tidak mematuhi prosedur kerana mereka bekerja di kawasan yang mempunyai keadaan geologi kompleks.


"Zon sesar utama yang dilalui sepanjang Bentong adalah cabaran besar buat projek ini dan kejadian ini menunjukkan maklumat geologi kawasan amat kritikal untuk difahami bagi mengurangkan risiko pergerakan bahan bumi semasa dan selepas aktiviti pengorekan dijalankan," katanya.


Sementara itu, pakar geobencana dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ir Dr Goh Thian Lai, berkata pihaknya mencadangkan supaya pemetaan sub permukaan dibuat dengan lebih teliti bagi langkah keselamatan.


Kaedah biasa yang digunakan ialah survei geofizik dan penyelidikan tanah (soil investigation) dan sekiranya maklumat keadaan geologi di bahagian depan pengorekan terowong diperoleh, kaedah mitigasi atau pencegahan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Kejadian tanah mendap di Karak boleh berulang
Tapak Projek ke pintu masuk terowong dan Mesin Pengorek Terowong bagi projek ECRL, di Bentong, Pahang. - Foto fail NSTP 13 Januari 2022.

Laluan terowong ECRL di kawasan banyak sesar


"Kawasan di sini mempunyai banyak sesar dan adalah berdekatan dengan sesar Bukit Tinggi. Kemungkinan besar pembinaan terowong merentasi kawasan sesar atau berdekatan dengan sesar.


"Bahan batuan di sekitar sesar terutama di zon ricih (shear zone) adalah sangat lemah dan berpecah menjadi serpihan kecil.


"Sekiranya terowong merentasi kawasan ini yang dipenuhi dengan air bawah tanah atau takungan air, maka bahan ini akan mengalir ke dalam terowong dan mengakibatkan mendapan berlaku di permukaan jalan dan terbentuk lubang benam," katanya.


Beliau berpendapat pembinaan terowong itu mengikut prosedur namun insiden mungkin disebabkan kekurangan maklumat penting di bahagian depan terowong pembinaan.


Kejadian mendap mungkin boleh berlaku lagi sekiranya maklumat keadaan geologi yang diperolehi kurang lengkap. Sekiranya maklumat yang baik diperoleh, mereka akan menjalankan kaedah mitigasi lebih berkesan untuk mengurangkan bahaya geologi," katanya.


Sumber: Berita Harian


Kejadian tanah mendap di Karak boleh berulang


bottom of page