top of page

PMO tentukan kelulusan projek Jana Wibawa, rundingan terus atau tender terbuka - Saksi


PMO tentukan kelulusan projek Jana Wibawa, rundingan terus atau tender terbuka - Saksi
Gambar hiasan

PMO tentukan kelulusan projek Jana Wibawa, rundingan terus atau tender terbuka - Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa Pejabat Perdana Menteri yang menentukan sama ada kelulusan projek Jana Wibawa melalui rundingan terus atau tender terbuka prakelayakan.


Projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) diperkenal ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan objektif mempercepat pelaksanaan projek dan meningkatkan ekonomi negara semasa pandemik COVID-19.


Bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan Datin Rosni Mohd Yusoff, 52, berkata ia adalah arahan daripada Pejabat Perdana Menteri kepada Menteri Kewangan. "Untuk program Jana Wibawa memang ditentukan oleh Pejabat Perdana Menteri untuk dilaksanakan secara rundingan terus atau tender terbuka prakelayakan.


"Disenaraikan projek-projek untuk dinilai oleh Bahagian Perolehan. Senarai projek termasuk syarikat terlibat dan juga kaedah pelaksanaan," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi pada hari pertama perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Datuk Wan Saiful Wan Jan di hadapan Hakim Rozina Ayob.


Rosni, yang kini bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Strategi Badan Berkanun, berkata bagi tender terbuka terdapat lima hingga enam nama (syarikat) dihantar kepada Jawatankuasa Penilaian Kontraktor yang dipengerusikannya bersama pasukan teknikal beberapa kementerian yang terlibat.


"Pegawai-Pegawai ini diberi projek Jana Wibawa untuk membuat penilaian ke atas syarikat-syarikat daripada Pejabat Kementerian Kewangan.


"Setelah pegawai saya memproses dan menilai projek tersebut, ia akan dibawa ke satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh saya bersama pasukan teknikal Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya serta ahli daripada Bahagian Dasar Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan.


"Setelah mendapat nama syarikat tersebut, kami akan mengangkat ia kepada Menteri Kewangan. Keputusan itu akan diberi kepada Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya untuk dibuat penilaian lanjut," kata saksi pendakwaan ketiga itu.


Beliau juga berkata syarikat yang disenarai akan dinilai daripada segi kepatuhan syarat, keupayaan kewangan syarikat kontraktor dan keupayaan teknikal syarikat.


Wan Saiful, 47, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang bernilai RM232 juta.


Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.


Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.


Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.


Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Perbicaraan bersambung esok.


Sumber: Astro Awani


PMO tentukan kelulusan projek Jana Wibawa, rundingan terus atau tender terbuka - Saksi

17 views

Comments


bottom of page