top of page

Tender semula projek Jana Wibawa ikut prosedur


Program Jana Wibawa diperkenal bertujuan membantu kontraktor Bumiputera.
Program Jana Wibawa diperkenal bertujuan membantu kontraktor Bumiputera.

MACHANG: Projek bernilai RM7.2 bilion yang diserah kepada kontraktor Program Jana Wibawa membabitkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan ditender semula selepas dibatalkan.


Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan membatalkan tender berkenaan dibuat oleh Kementerian Kewangan.


Timbalan Perdana Menteri berkata, projek berkenaan akan ditender semula mengikut prosedur dan tata etika kewangan yang mesti dihormati.


"Kita tahu ada sedikit gangguan dari segi pelaksanaan dan yakinlah sekiranya tata etika dan peraturan diikuti, ia akan dilakukan segera.



"Insya-Allah projek itu akan siap dalam tempoh ditentukan," katanya pada sidang media pada Majlis Santunan Kasih di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu di sini, hari ini.


Laporan sebelum ini menyebut, lebih 1,000 kontraktor Bumiputera menanggung kerugian apabila pelbagai projek diluluskan menerusi Program Jana Wibawa sebelum ini dibatalkan untuk ditender semula.


Difahamkan, sekurang-kurangnya 100 projek yang kebanyakan membabitkan tender terhad menerusi Program Jana Wibawa bernilai berbilion ringgit akan dibuka untuk tender semula, biarpun kontraktor sebelum ini sudah membuat pelaburan besar termasuk melantik jururunding bertauliah untuk menyelia projek itu.


Mengenai kumpulan kontraktor yang mendakwa disenarai hitam daripada menyertai tender itu pada masa akan datang, Ahmad Zahid menegaskan tidak mempunyai maklumat berhubung perkara itu.


Sumber: Berita Harian


7 views

Comments


bottom of page