KUALA LUMPUR: Satu taklimat khas dan sesi penerangan perlu diberikan Kementerian Kewangan kepada subkontraktor terbabit dengan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) sebelum ini dibatalkan untuk ditender semula.
Perkara itu dicadangkan Pemangku Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon yang melihat subkontraktor terbabit dalam projek Jana Wibawa sebagai kumpulan tersepit.
Justeru, katanya kerajaan perlu mengadakan sesi khas seperti taklimat bagi membantu subkontraktor ini supaya segala persoalan berbangkit dapat diperjelaskan.
"Kita faham dalam situasi sekarang bukan hanya kontraktor utama menghadapi masalah apabila satu-satu projek itu dibatalkan untuk ditender semula.
"Paling terkesan adalah kumpulan subkontraktor, dan mereka ini ada komitmen yang sudah dibuat seperti pinjaman bank dan kos penambahan pekerja serta kos tempahan barang untuk projek," katanya kepada BH.
Beliau mengulas laporan eksklusif BH mengenai lebih 1,000 kontraktor Bumiputera terpaksa berputih mata dan menanggung kerugian besar apabila pelbagai projek diluluskan menerusi Jana Wibawa sebelum ini dibatalkan untuk ditender semula.
Difahamkan, sekurang-kurangnya 100 projek yang kebanyakan membabitkan tender terhad menerusi Program Jana Wibawa bernilai bilion ringgit akan dibuka untuk tender semula, biarpun kontraktor sebelum ini sudah membuat pelaburan besar, termasuk melantik jururunding bertauliah untuk menyelia projek itu.
Norsyahrin menjelaskan, pihaknya memahami sesetengah projek itu perlu ditender semula kerana terbabit isu perundangan dan kes dibicarakan di mahkamah.
Namun, katanya kesan kepada subkontraktor ini perlu diambil kira kerana ia memberikan persekitaran yang tidak sihat kepada kumpulan berkenaan.
"DPPM ada menerima rungutan dan aduan berhubung perkara ini dan kebanyakan subkontraktor itu tidak terbabit dengan perjanjian antara kontraktor utama dengan kerajaan.
"Untuk masa depan, kita harap apa-apa projek kerajaan yang mahu disemak atau ditender semula serta dibatal mahupun ditangguhkan perlu ada penilaian kepada kos yang ditanggung kumpulan subkontraktor," katanya.
Menjelaskan perkara itu, beliau mendakwa kebanyakan subkontraktor ini tidak membawa isu ini ke pihak berkuasa kerana bimbang dengan 'periuk nasi' masing-masing bagi menjaga imej syarikat.
"Kita harap sangat selepas ini ada jalinan penerangan dan penyaluran maklumat kepada subkontraktor ini kerana ketika ini mereka tertekan dan mengalami kerugian dengan apa yang berlaku," katanya.
Mengulas isu yang sama, Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf Malaysia), Tukiman Radion menuntut penjelasan daripada Kementerian Kewangan berhubung perkara itu.
Katanya, beliau percaya dengan pembatalan projek Jana Wibawa itu bukan hanya kontraktor menghadapi masalah tetapi kumpulan subkontraktor yang lebih terkesan.
"Apa yang kita bimbang, subkontraktor ini sudah pun mengeluarkan modal sendiri untuk memulakan kerja dan memberi barang tetapi bila dibatal dan ditangguhkan mereka yang menanggung kerugian," katanya.
Namun, beliau mengakui pada masa, di peringkat kontraktor kelas F, isu ini tidak berbangkit kerana tidak terbabit dengan projek Jana Wibawa.
"Tiada aduan daripada ahli kita, namun kami mahukan penjelasan supaya nasib kontraktor terutama subkontraktor ini tidak teraniaya," katanya
Sementara itu, Felo Kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Yazid Othman berkata, pembatalan projek Jana Wibawa ini membabitkan ribuan isi rumah dan melambatkan pelbagai projek kepentingan rakyat.
Justeru, katanya kerajaan perlu berhati-hati dalam menangani isu berkenaan, namun semua wajar menyokong apa jua proses yang menjimatkan wang rakyat dan kerajaan.
Apatah lagi, katanya jika benar ada bukti jelas berlakunya rasuah membabitkan projek Jana Wibawa itu.
"Tapi yang paling menarik proses ini menzahirkan gejala 'Ali Baba' yang menjadi satu bentuk sabatoj ekonomi Bumiputera.
"Harapan saya, kerajaan boleh hapuskan gejala 'Ali Baba' bersekali dengan jihad menentang rasuah secara besar besaran untuk kesan dan impak maksima kepada komuniti ekonomi Bumiputera dengan segera," katanya.
Beliau menegaskan, isu itu perlu ditangani segera dengan cekap kerana ia boleh menjadi polemik politik kerana Projek Jana Wibawa membabitkan kontraktor Melayu dan Bumiputera.
Sumber: Berita Harian
Comments