top of page

Peruntukan RM9 bilion bagi projek tangani isu pengurusan banjir - Tuan Ibrahim


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan lebih RM9 bilion melibatkan hampir 100 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dan Saliran Bandar di seluruh negara bagi menangani isu pengurusan banjir negara, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.


Beliau berkata peruntukan itu antara yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan turut merangkumi projek sambungan daripada RMK-11.


"Sehingga September ini, tujuh (projek) telah siap dan dalam tempoh Defect Liability Period (Tempoh Liabiliti Kecacatan) (DLP), 27 projek dalam pelaksanaan dan 64 di peringkat prapelaksanaan," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.


Menyentuh isu perubahan iklim, beliau berkata Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (LT-LEDS) dijangka siap akhir tahun depan.


Pada April lepas, Kementerian Alam Sekitar dan Air memaklumkan LT-LEDS sedang dibangunkan untuk dikemukakan kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).


"Pembangunan unjuran dan analisis dijalankan dengan menggunakan beberapa model yang berperanan untuk menyokong dasar berasaskan bukti dan akan menentukan hala tuju dasar karbon negara.


"Ini adalah dengan mengambil kira impak dasar-dasar dan potensi pengurangan gas rumah hijau (GHG) daripada tindakan-tindakan mitigasi perubahan iklim negara yang boleh dicapai sehingga 2050," katanya.


Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan penguatkuasaan di seluruh negara terhadap 15,344 premis yang tertakluk kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, setakat 1 Jan lepas hingga semalam.


Beliau berkata daripada jumlah itu, 6,762 premis dikenakan tindakan tegas.


"Sebagai perbandingan, dalam tempoh sama pada 2020, 16,432 pemeriksaan dengan 7,712 tindakan dikenakan," katanya. -- BERNAMA


Sumber: Astro Awani

16 views

Comments


bottom of page