top of page

Peruntukan RM6.5 juta bina 50 RKJ tahun ini


Peruntukan RM6.5 juta bina 50 RKJ tahun ini
Gambar hiasan

Peruntukan RM6.5 juta bina 50 RKJ tahun ini

Johor Bahru: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM6.5 juta tahun ini bagi pembinaan 50 Rumah Kasih Johor (RKJ) yang dijangka mula 1 September nanti.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, projek fasa pertama diperkenalkan kerajaan negeri itu membabitkan lima rumah penerima terpilih bagi setiap 10 daerah di negeri ini.


Beliau berkata, mereka yang terpilih perlu menepati syarat ditetapkan iaitu daripada golongan miskin tegar dan mempunyai tanah.


"Seperti yang diumumkan dalam Bajet 2023 oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tahun lalu, kita akan melaksanakan RKJ tahun ini dengan memperuntukkan pembinaan rumah bernilai RM100,000 kepada penerima yang mana mereka tidak perlu bayar apa-apa.


"Projek ini memberi fokus kepada golongan miskin tegar dan mempunyai tanah dan purata setiap daerah akan ada empat hingga lima penerima tahun ini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutup Ekspo Hartanah Johor 2023 (JPEX 2023) di Angsana Johor Bahru Mall di sini, hari ini.


Turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ), Datin Paduka Dr Suhailizan Suliman.


Pada majlis itu, Mohd Jafni turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil RKJ dan J-Home One Stop Centre Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Rumah Bandar Idaman Putra, Kulai.


Mohd Jafni berkata, projek pembinaan RKJ yang akan dimulakan dengan kerja meratakan tapak tanah pada September ini dan dijangka siap antara Mac atau April 2024 dengan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) yang dilantik sebagai kontraktor utama.


Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan pembinaan 100 RKJ setiap tahun bagi tempoh lima tahun akan datang.


Sumber: Harian Metro


Peruntukan RM6.5 juta bina 50 RKJ tahun ini


8 views

Comentários


bottom of page