top of page

Sistem perumahan di Johor ditambah baik


ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan adakan pertemuan dengan beberapa institusi kewangan dalam usaha menambah baik dan memudahkan rakyat negeri ini mendapat kelulusan pinjaman perumahan.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Dzulkefly Ahmad, berkata perbincangan akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi memudahkan pengeluaran kelulusan pinjaman secara dasar dalam tempoh kurang dua minggu.


Katanya, proses penambahbaikan itu adalah satu lagi inisiatif kerajaan Johor selain dasar Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ) bagi memastikan sasaran kerajaan negeri untuk mencapai pelaksanaan pembinaan sebanyak 100,000 unit menjelang 2023 dapat dicapai.


“Dasar perumahan rakyat Johor yang sedia ada diperkenalkan pada 2012 bagi kawasan dalam wilayah Iskandar Malaysia, manakala pada 2014 pula di luar wilayah Iskandar Malaysia, sejak itu tidak ada proses penambahbaikan secara menyeluruh dilakukan sehingga hari ini.


“Terdapat beberapa kelemahan dalam dasar lama yang perlu diperkemaskan supaya kelemahan itu tidak dimanipulasi oleh pihak pemaju perumahan, sekali gus memastikan pihak terbabit memberi sepenuh komitmen dalam membina jumlah rumah seperti mana yang ditetapkan.


“Justeru, kerajaan negeri mengkaji secara mendalam berkaitan keperluan dan faktor ekonomi semasa, permintaan serta penawaran sektor perumahan, kadar pertumbuhan dan kepadatan penduduk selain pendapatan isi rumah dalam penyediaan rumah kepada rakyat Johor,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Seminar Transformasi Dasar Perumahan Rakyat Johor 2019 yang diadakan di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Setiausaha Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor, Mohd Radzi Mohd Amin.


Pada majlis itu, Dzulkefly berkata Dasar Perumahan Rakyat Johor 2019 terbahagi kepada lima komponen utama termasuk dasar RMBJ, Hartanah Bumiputera Johor, Sistem Perumahan Mampu Biaya Johor (SP2MJ), Dasar Program Perumahan Rakyat atau Rumah Sewa Kerajaan dan Pindah Milik.


“Kerajaan negeri berharap apabila dasar baharu ini dikuatkuasa, semua pihak dapat memberi kerjasama terutama pihak pemaju yang juga pemain penting dalam pembangunan hartanah serta kediaman di negeri ini.


“Agensi kerajaan pula diharap dapat membantu menyampaikan mesej tepat kepada pemaju mahupun agensi swasta yang terbabit ke arah usaha membantu rakyat Johor, sekali gus mencapai hasrat satu keluarga satu kediaman,” katanya.



16 views
bottom of page