top of page

Sebanyak 24 projek perumahan di Johor bermasalah


Sebanyak 24 projek perumahan di Johor bermasalah Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: Sebanyak 24 projek perumahan di Johor bermasalah

ISKANDAR PUTERI: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti 24 projek perumahan yang merangkumi 17 projek sakit, manakala tujuh lagi terbengkalai di seluruh Johor.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata kerajaan negeri bertindak sebagai pemudah cara bagi menyelesaikan masalah yang dialami pembeli membabitkan projek ppr sakit dan terbengkalai yang berada di bawah kerajaan Persekutuan.


Beliau berkata, antara projek sakit yang terbabit adalah di Taman Setia Indah, Projek Taman Kota Jaya dan Taman Residensi Kota Tinggi.


"Kerajaan Johor sentiasa bekerjasama membantu memulihkan projek perumahan sakit serta bertindak sebagai pemudah cara membantu pelikuidasi (pencairan aset) dan kontraktor penyelamat untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal serta pihak yang berkepentingan.


"Hal ini dapat dilihat apabila kerajaan Johor memberi komitmen dalam memantau serta memberikan kelulusan sehingga ke peringkat Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan penyerahan kunci.


"Ini membabitkan projek sakit Taman Setia Indah (639 unit) dan Projek Taman Kota Jaya (87 unit) dapat diselesaikan sehingga penyerahan kunci," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim, mengenai langkah yang diambil kerajaan negeri dalam menangani isu projek perumahan sakit khususnya projek yang berada di bawah kerajaan Persekutuan.


Mengulas lanjut, Mohd Jafni yang juga ADUN Bukit Permai, berkata projek sakit yang bakal diselesaikan pada awal tahun hadapan membabitkan 625 unit kediaman di Taman Residensi Kota Tinggi yang dimajukan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).


Katanya, ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri yang proaktif dalam memastikan agensi-agensi di bawah kerajaan Johor dapat membantu dalam menyelesaikan isu projek sakit.


"Pihak KPKT juga turut mengambil tindakan menyenarai hitam pemaju yang menyebabkan projek perumahan terbengkalai, yang terbabit dengan projek sakit, yang gagal membayar kompaun, pemaju ingkar dan pemaju perumahan tanpa lesen.


"Apabila disenarai hitam, pemaju dan ahli lembaga pengarah syarikat terbabit tidak lagi boleh memohon lesen dan permit iklan dan jualan.


"Senarai pemaju yang disenarai hitam turut dipaparkan dalam laman sesawang KPKT untuk rujukan pembeli dan pemegang taruh yang lain," katanya.


Sumber: Berita Harian


Comments


bottom of page