top of page

41 projek perumahan bermasalah di Johor


projek terbengkalai di Johor
Gambar hiasan: Contoh projek perumahan bermasalah & terbengkalai

projek terbengkalai di Johor

ISKANDAR PUTERI - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengenal pasti 33 projek perumahan merangkumi sakit dan lapan projek terbengkalai di Johor setakat akhir, Januari lalu.


Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, kebanyakan projek perumahan sakit dan terbengkalai ini terletak di bandar raya Johor Bahru, Pasir Gudang dan Iskandar Puteri serta kawasan perbandaran di Kulai.

Jelasnya, meskipun projek rumah sakit dan terbengkalai terletak di bawah KPKT, namun kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Perancangan, Pembangunan dan Rekabentuk (PDRC) membantu pemaju terlibat.

"Projek perumahan sakit ini bukan di bawah bidang kerajaan negeri. Namun, jika ada pemaju projek sakit yang minta bantuan kerajaan negeri, ia amat dialu-alukan.


"Ini kerana Johor sudah mempunyai jawatankuasa PDRC yang disertai pelbagai agensi dan jabatan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia)," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, pada Selasa.


Mohd Jafni berkata, usaha sama PDRC dan pemaju membuahkan hasil, apabila berjaya menyelesaikan projek perumahan sakit Taman Residensi Kota Tinggi.


"Pemaju Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) telah datang kepada kerajaan negeri untuk memohon bantuan menyelesaikan isu perumahan sakit lebih dua tahun di Taman Residensi Kota Tinggi.


"Akhirnya selepas lapan bulan, Taman Residensi Kota Tinggi yang mempunyai 625 unit berjaya disiapkan dan kunci rumah akan diserahkan kepada pembeli secara berfasa bermula pada bulan ini," katanya.


Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata sebanyak 12,518 unit rumah mampu milik disasarkan kerajaan negeri akan disiapkan dalam tempoh tiga tahun akan datang.


"Sehingga 2023, sembilan sesi mesyuarat telah diadakan dan PDRC berjaya mengikat komitmen daripada pihak pemaju untuk menyiapkan rumah mampu milik sebanyak 12,518 unit sehingga tahun 2026.


"Projek ini melibatkan 68 projek, 25 pemaju dan 10 PBT di Johor," katanya.


Sumber: Sinar Harian


8 views

Comments


bottom of page