top of page

Pelabuhan Malaysia berdepan risiko pelan Thailand pintas Selat Melaka


Pelabuhan Malaysia berdepan risiko pelan Thailand pintas Selat Melaka
Pelabuhan di malaysia perlu menaik taraf strategik infrastruktur dan kecekapan operasi bagi mengekalkan daya saing - Gambar fail NSTP

Pelabuhan Malaysia berdepan risiko pelan Thailand pintas Selat Melaka

KUALA LUMPUR: Perniagaan perkapalan pelabuhan di Malaysia berisiko mengalami gangguan jika rancangan untuk memintas Selat Melaka ke Amerika Syarikat (AS) menjadi kenyataan, demikian menurut penganalisis.


Ahli ekonomi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Shankaran Nambiar, berkata cadangan itu memberikan cabaran yang kritikal kepada pelabuhan Malaysia dengan ketidaktentuan mengenai kapal yang akan memilih laluan perkapalan baharu Thailand itu dan kapal yang terus menggunakan pelabuhan negara ini.


Beliau menambah, walaupun perincian mengenai kapal terbabit tidak jelas, sudah pasti berlaku pengurangan trafik yang melalui Selat Melaka.


"Ini mencetuskan persoalan mengenai daya saing pelabuhan kita dan apa yang kita boleh lakukan untuk menaik taraf," katanya kepada Business Times.


Memandangkan landskap perkapalan global sedang melalui potensi transformasi, Nambiar menekankan keperluan naik taraf strategik infrastruktur pelabuhan Malaysia dan kecekapan operasinya.


Katanya, terdapat keperluan segera supaya pelabuhan Malaysia melaksanakan langkah memudah cara perdagangan yang mantap dan menyeragamkan prosedur kastam bagi mengekalkan daya tarikan.


Beliau menambah, penting juga untuk memberikan tumpuan meningkatkan perkhidmatan sokongan dan membina persekitaran kawal selia yang lebih mesra perniagaan.


Thailand mengemukakan cadangan projek berbilion dolar bagi mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Hindi dan Pasifik dengan mengelak Selat Melaka, sebuah laluan laut utama yang sibuk.


Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin memberitahu pelabur di San Francisco bahawa projek itu boleh memendekkan masa perjalanan kira-kira empat hari dan mengurangkan perbelanjaan perkapalan sebanyak 15 peratus.


Beliau berkata, dengan volum trafik diunjurkan melebihi kapasiti Selat Melaka menjelang 2030, projek baharu itu akan memastikan aliran barangan yang lancar.


Projek Landbridge itu dianggarkan menelan kos kira-kira 1 trilion baht (AS$28 bilion).


Ia membabitkan pembinaan pelabuhan laut di kedua-dua bahagian semenanjung selatan Thailand, dihubungkan dengan rangkaian lebuh raya dan kereta api yang komprehensif.


Laluan sepanjang 100 kilometer itu akan berfungsi sebagai alternatif kepada cadangan untuk membina terusan melalui Segenting Kra.


Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Thought Partners Group (TPG), Abi Sofian Abdul Hamid, berkata Malaysia akan mempunyai saingan dua pelabuhan baharu iaitu satu di bahagian pantai timur dan satu lagi di pantai barat Thailand.


Beliau yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Northport (Malaysia) Bhd menegaskan bahawa pelabuhan-pelabuhan Malaysia mesti membina daya tarikan yang amat tinggi kepada pelanggan dari segi produk dan perkhidmatan.


Untuk permulaan, katanya mereka perlu mengekalkan pelanggan sedia ada dan fokus terhadap pasaran pertumbuhan.


"Akan terdapat sedikit impak dan pelabuhan mesti proaktif untuk datang dengan strategi yang betul lebih awal. Pelabuhan juga perlu mempergiatkan kerja menambah baik prestasi yang relevan dengan pelanggan masing-masing.


"Satu lagi dimensi adalah supaya pelabuhan Malaysia bekerjasama bukan hanya dalam kalangan mereka, malah bersama peserta industri dan pihak berkepntingan dalam rantaian bekalan serta logistik supaya dapat memberikan nilai menyeluruh kepada semua pelanggan," katanya.


Profesor Ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng, turut menyatakan risiko kemerosotan, termasuk potensi kehilangan logistik dan perkhidmatan bekalan di pelabuhan tempatan berikutan perubahan dalam corak perkapalan apabila kapal memintas Selat Melaka.


Bagaimanapun, katanya di sebalik cabaran berkenaan, pelabuhan Malaysia akan terus memainkan peranan untuk memberikan perkhidmatan kepada perdagangan kargo maritim negara, termasuk penghantaran barang.


Secara ringkas, katanya ia bukan senario yang buruk, memandangkan laluan baharu itu membantu mengurangkan kesesakan Selat Melaka.


"Ia juga akan menjadikan pergerakan lebih cekap, pantas dan kos perkapalan lebih rendah bagi penghantaran kargo antara Lautan Hindi dan Pasifik," katanya.



Pelabuhan Malaysia berdepan risiko pelan Thailand pintas Selat Melaka

Komentarze


bottom of page