top of page

RM192 juta untuk naik taraf Pelabuhan Chendering - Mohamad Sabu


Pelabuhan Chendering, Terengganu
Pelabuhan Chendering: projek itu membolehkan lebih banyak bot nelayan bersaiz besar mendarat di pelabuhan berkenaan sekali gus meningkatkan pendaratan hasil laut.

Pelabuhan Chendering, Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kerajaan memperuntukkan RM192 juta bagi projek menaik taraf pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering di sini.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pelaksanaan projek itu membolehkan lebih banyak bot nelayan bersaiz besar mendarat di pelabuhan berkenaan sekali gus meningkatkan pendaratan hasil laut.


"Pelabuhan Chendering akan dikorek dan dibalikkan peranannya seperti dahulu... Bagi kerja-kerja awal kerajaan negeri telah mengorek pasir (di muara pelabuhan) yang melibatkan kos sebanyak RM3 juta. "Selepas ini Pelabuhan Chendering akan kembali aktif, lebih banyak kapal mendarat ikan termasuk bot lebih besar," katanya semasa melawat Syarikat Amir Vision Sdn. Bhd. di sini hari ini.


Amir Vision merupakan satu daripada syarikat yang terlibat bagi pembangunan vesel moden Zon C2 milik bumiputera di Terengganu.


Sementara itu, menurut Pengarah LKIM Negeri Terengganu Rosli Mustapa, pelabuhan Chendering berdepan masalah muara cetek serta kekurangan kemudahan di jeti pendaratan ikan, sehingga menyukarkan pendaratan bot nelayan terutamanya bersaiz besar.


"Kerja-kerja menaik taraf dijangka bermula April ini yang akan dimulakan dengan proses penilaian dan kajian untuk membina benteng pemecah ombak dan pembaikan kecil (infrastruktur).


"Kemudian kita akan teruskan pelaksanaan projek naik taraf ini secara berperingkat... Sekarang pelabuhan masih boleh digunakan, cuma ada gangguan, bot besar betul-betul air pasang baru boleh masuk dan kena gilir-gilir sebab laluan tak besar," katanya.


Menurutnya, peruntukan tambahan sebanyak RM40 juta juga akan dipohon daripada kerajaan pusat bagi menampung kos projek mendalamkan muara di pelabuhan berkenaan.


"Jumlah ini tidak termasuk dalam peruntukan RM192 juta tadi," katanya.


Sumber: Astro Awani


6 views

Comments


bottom of page