top of page

Pastikan kelestarian sumber asli unik, langka


Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah. - NSTP/Aswadi Alias

Saya tertarik penjelasan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mengenai pendekatan pengurusan sumber asli negara di TV1 beberapa hari lalu. Kesedaran pentingnya keseimbangan antara pemuliharaan dan penggunaan secara lestari sumber asli amat terserlah. Ini tindakan positif dan perlu disusuli dasar, strategi serta tindakan mantap.


Begitu juga kenyataan beliau untuk meminda beberapa akta bagi membolehkan usaha menterjemahkan dasar kepada tindakan dapat dilaksana dengan berkesan. Bagi tujuan ini, beberapa kenyataan dasar perlu dihuraikan dengan jelas dan mudah difahami. Saya yakin dasar sedia ada masih relevan dan memenuhi tuntutan pembangunan lestari, tetapi kebanyakan isu dan hambatan terletak pada tindakan pelaksanaan kurang berkesan.


Dalam konteks dasar, sama ada sumber hayat (kepelbagaian biologi) atau bukan hayat (batu-batan, mineral dan air) isu asas adalah mengenal pasti nilai, kelimpahan dan kepentingan dalam pembangunan negara.


Dalam konteks nilai, terdapat sumber asli unik (hanya dijumpai di Malaysia); langka (dijumpai di beberapa negara) atau biasa. Konsep Warisan Sumber Asli (WSA) dan kepentingan memelihara sumber unik serta langka perlu diberikan perhatian tinggi. Aspek ini belum diberikan perhatian sewajarnya.

Kelimpahan pula ialah banyaknya sumber boleh dimanfaatkan. Ia berkaitan sumber tidak boleh diperbaharui seperti batu-batan, mineral dan sumber tenaga fosil. Jika taburannya melimpah, dasar penggunaan lestari boleh mengambil kira kegunaan dalam negara dan untuk eksport. Namun, jika taburannya terhad, mungkin Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) perlu menyediakan dasar hanya untuk kegunaan dalam negara.


Begitu juga dalam soal kepentingan sumber. Perkara penting didahulukan, jika tidak kita mungkin membazir sumber, iaitu menggunakan sumber berkualiti untuk keperluan remeh.


Konsep kedua dalam pengurusan sumber asli ialah hierarki kepentingan sumber asli. Dalam konteks ini, ia terbahagi kepada tiga kepentingan iaitu bernilai khazanah (warisan budaya dan tamadun bangsa); asas kehidupan (khidmat ekologi) serta kegunaan untuk bahan binaan dan sumber ekonomi.


Daripada perspektif khazanah, kita perlu mengenal pasti sumber bernilai warisan tabii (bertaraf antarabangsa, kebangsaan atau negeri). Pemuliharaan dan pemeliharaan warisan ini boleh dimandatkan kepada agensi pelaksana bersesuaian. Konsep taman negara, taman negeri, rizab hidupan liar, landskap berpandangan indah, biotapak, geotapak dan monumen tabii perlu dimantapkan serta dilaksana.


Sumber biologi sebagai sumber boleh diperbaharui pada masa ini diurus di bawah konsep hutan simpan kekal (HSK). Ini idea penjajah Inggeris untuk memastikan kawasan hutan dikekalkan dan sumber hutan boleh diguna untuk pembinaan dan sumber ekonomi.


Ia masih relevan daripada perspektif penggunaan lestari, tetapi perlu penambahbaikan dasar berkaitan warisan tabii dan perkhidmatan ekologi. Idea pengeluaran hasil hutan lebih berkesan dan mesra alam, seperti hutan pertanian serta hutan komuniti perlu diterokai.


Dasar penggunaan sumber geologi (batu batan dan mineral), iaitu sumber tidak boleh diperbaharui memerlukan dasar kelestarian berasaskan kelimpahan, kepentingan dan kesesuaian penggunaan lebih jelas. Contohnya, Semenanjung mempunyai kelimpahan batuan granit tinggi dan sangat sesuai sebagai sumber utama bahan binaan. Sumber ini boleh digunakan tanpa batas. Pengkuarian granit boleh digalakkan sebagai asas penyediaan agregat dan batu dimensi dalam industri binaan.


Batu kapur, terutama perbukitan kars bukan sahaja kelimpahannya terbatas, tetapi mempunyai nilai warisan tinggi. Pada masa sama, Jabatan Mineral dan Geosains boleh mengesahkan, taburan batu kapur bawah tanah boleh mencapai lebih 90 peratus berbanding kuantiti membentuk bukit batu kapur.


Oleh itu, dasar pengambilan batu kapur sebagai bahan industri perlu dihadkan kepada pengkuarian bawah tanah. Keindahan landskap kars di Ipoh umpamanya, terjejas teruk akibat pengkuarian dan ini tentu tidak dapat dikembalikan kepada keadaan asal.


Dasar perlombongan mineral bijih, terutama timah, besi, bauksit, tembaga, emas dan pelbagai mineral industri pada masa ini tertumpu kepada sumber komoditi atau eksport. Saya bersetuju dengan pandangan menteri, dasar baharu perlu digubal bagi memastikan aktiviti perlombongan ini menggalakkan pertumbuhan industri hiliran berasaskan mineral.


Ia bukan sahaja dapat menambah nilai, tetapi berupaya menggalakkan pertumbuhan industri termaju watan dan mengurangkan aliran keluar wang negara. Pada masa ini, negara mengimport pelbagai produk teknologi berasaskan sumber mineral dari luar negara bernilai ribuan juta ringgit.


Sumber petroleum (minyak bumi dan gas asli) negara diurus melalui Akta Pembangunan Petroluam 1974 dan tugas melaksanakan diserahkan kepada PETRONAS.


Pencapaiannya tidak perlu diulas lagi kerana ia membuktikan keupayaan cemerlang dan menghasilkan sumber petroleum yang membawa banyak manfaat kepada kesejahteraan dan ekonomi negara.


Disebabkan petroleum ialah sumber tidak boleh diperbaharui dan boleh habis dalam puluhan tahun akan datang, idea Cess Fund diperkenalkan bagi menggantikan sumber yang dihabiskan untuk generasi akan datang. Dana ini diharap tidak digunakan sepenuhnya untuk pembangunan sumber gantian oleh PETRONAS, sebaliknya diagihkan kepada institusi penyelidikan awam bagi membangun teknologi sumber tenaga keterbaharuan.


Dasar pembangunan sumber tenaga keterbaharuan, khususnya solar, hidro, angin dan ombak masih perlu diperkemaskan bagi menggalakkan penggunaan secara meluas. Pada masa ini, kebergantungan tinggi kepada perkhidmatan bermonopoli kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB) kurang menggalakkan pembangunan tenaga solar secara kecilan dan luwes.


Penghasilan sumber solar domestik berlebihan pada waktu siang tidak digalak disimpan dalam sistem grid kebangsaan untuk digunakan ketika malam. Pelbagai kerenah birokrasi dikenakan bagi warga yang ingin membangun sistem solar.


Saya gembira mengikuti ulasan Menteri Tenaga dan Sumber Asli yang menunjukkan kesungguhan untuk memperbaiki sistem penyampaian kepada masyarakat.


Beliau perlu menggembleng pakar bebas yang boleh menasihati dalam hal ehwal dasar dan strategi pelaksanaan untuk bertindak lebih berkesan.


Agensi dan pegawai kanan di KeTSA pasti akan memberikan input berasaskan dasar sedia ada dan pengalaman pengurusan. Gabungan kedua-duanya pasti membuahkan hasil bijaksana.


Penulis adalah Pengerusi, Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM) dan Felo Utama, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), UKM



9 views
bottom of page