GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang sedang memperhalusi inisiatif, langkah mitigasi dan mekanisme bagi memuktamadkan pakej bayaran pampasan kepada nelayan yang akan terjejas susulan Projek Tambakan Laut Di Perairan Selatan Pulau Pinang (PSR).
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari, berkata semua perkara itu akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Petugas Nelayan yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Zakiyuddin Abdul Rahman.
"Pandangan dan maklum balas nelayan adalah perkara serius yang akan dilihat oleh kerajaan negeri dan ia akan dilakukan dengan teliti dalam projek di negeri ini," katanya menjawab soalan tambahan Goh Choon Aik (PH-Bukit Tambun) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Katanya, memahami impak yang bakal berlaku berikutan projek terbabit, tiga pakej di bawah Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) disediakan untuk nelayan yang terjejas.
"Pakej pertama ialah pakej bantuan hidup membabitkan bayaran ex- gratia (pampasan) dan elaun bulanan manakala pakej kedua ialah pemerkasaan seperti pembinaan jeti baharu, koperasi nelayan, skim tuisyen dan pendidikan untuk anak-anak, skim latihan untuk nelayan dan anak-anak dan peluang pekerjaan bagi mereka yang layak.
"Bagi pakej ketiga adalah keutamaan bagi pendaftaran rumah mampu milik bagi membantu nelayan yang belum memiliki rumah sendiri," katanya.
Projek PSR secara keseluruhannya mendapat semua kelulusan wajib yang diperlukan daripada Kerajaan Persekutuan.
"Lanjutan daripada kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), antara syarat lain adalah menyediakan Laporan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pulau Pinang," katanya.
Pelaksanaan PSR seluas hampir 17 kilometer (km) persegi membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, berdekatan Bayan Lepas.
Ia adalah sebahagian projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) bernilai RM46 bilion. Bagaimanapun projek itu mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk nelayan yang mendakwa projek berkenaan akan menjejaskan pendapatan mereka berikutan gangguan kepada alam sekitar dan ekosistem hidupan laut.
Sumber: Berita Harian
Comments