top of page

Orang awam boleh semak Laporan EIA projek KXP


Gambarajah kedudukan Kulim International Airport (KXP). Orang ramai boleh menilai Laporan EIA KXP dan Kedah Aeropolis mulai 16 Ogos hingga 14 September. - Foto fail NSTP

ALOR SETAR: Kedah menafikan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) akan menjejaskan bekalan air mentah dari Sungai Muda ke Pulau Pinang seperti yang didakwa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) baru-baru ini.


Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata dakwaan dan kebimbangan mengenai perkara itu adalah tidak berasas atau sengaja direka-reka untuk memberikan persepsi buruk orang awam terhadap projek KXP.


"Bagi menjawab persoalan PBAPP terhadap kemungkinan projek KXP akan menjejaskan air Sungai Muda, Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek berkenaan dan Kedah Aerotropolis telah dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Putrajaya untuk penilaian.


"Orang awam boleh menyemak Laporan EIA Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Kedah Aerotropolis, dari 16 Ogos hingga 14 September ini bagi mereka mengemukakan ulasan dan pandangan terhadap kedua-dua projek itu.


"Laporan ini juga boleh diakses melalui laman sesawang JAS dan juga Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPk). Selain itu, laporan EIA juga boleh disemak secara fizikal di JAS Putrajaya, JAS Negeri Kedah dan juga MPSPk," katanya dalam kenyataan malam ini.


Laporan untuk projek berkenaan disediakan berdasarkan akta serta peraturan yang ditetapkan jabatan teknikal dan disokong oleh pelan strategik konsep kejuruteraan.


Beliau mengulas kenyataan PBAPP yang dilaporkan pada 23 Ogos lalu yang antara lain menyebut cadangan projek KXP tidak harus menjejaskan bekalan air ke Pulau Pinang yang diperoleh dari Sungai Muda.


Sanusi berkata, keseluruhan aspek alam sekitar dikaji dengan teliti dengan pelbagai metodologi saintifik telah digunakan untuk memastikan semua impak terhadap alam sekitar diambil kira dalam kajian itu.


"Berdasarkan impak alam yang sekitar yang telah dikenal pasti, langkah-langkah mitigasi telah dicadangkan berdasarkan Best Management Practices (Amalan Pengurusan Terbaik) yang terdapat dalam sektor industri sekarang supaya air sungai dan alam sekitar tidak terjejas serta dapat mengekalkan status quo.


"Berdasarkan Laporan EIA, timbunan tanah, simen dan pasir adalah sumber pencemaran kepada sungai jika terdapat sesebuah pembangunan terletak berhampiran dengan laluan air," katanya.


Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, langkah mitigasi telah pun disyorkan dalam laporan EIA untuk memastikan penggerak projek ataupun pihak kontraktor tidak menyebabkan pencemaran terhadap aliran sungai berdekatan.


Selain itu, katanya kualiti air Sungai Muda juga dijangka tidak terjejas kerana kolam dan pagar kelodak akan dibina di sepanjang kawasan yang bersempadan termasuk dalam zon penampan dengan Sungai Muda.


"Jarak paling hampir zon pembangunan lapangan terbang dengan Sungai Muda adalah sejauh 550 meter berbanding dengan garis panduan yang mana zon penampan minimum yang diperlukan adalah sejauh 50 meter sahaja dari tebing sungai," katanya.


Sumber: Berita Harian

Comments


bottom of page