top of page

Ngeri kren dipanah petir



“Mabuk udara dan muntah di dalam kabin kren yang terhuyung-hayang pada ketinggian lebih 100 meter dari permukaan tanah masih mekar di ingatan,” kata Khairul Riduan Ghazali, 34, atau Yo, menceritakan pengalamannya menjadi pengendali kren ketika berusia 20 tahun.


Walaupun muntah sampai lembik, ayah kepada tiga cahaya mata ini mengakui langsung tidak takut gayat sekalipun berada pada ketinggian melebihi 100 meter.


Sepanjang 14 tahun pengalaman menjadi pengendali kren menara jenis ‘Hammer Head’, Khairul Riduan pernah berkhidmat dengan beberapa syarikat ternama, antaranya MK Land Holdings Berhad, AZRB Constructions Sdn Bhd dan Sika Sdn Bhd termasuk sebuah syarikat Jepun, Sato Kogyo.


Antara projek pembinaan itu ialah menyiapkan bangunan setinggi 30 tingkat di Damansara Damai (Petaling Jaya), Rohm-Wako (Kelantan), Kompleks Imigresen Putrajaya, Pelangi Mall (Kelantan) dan Pasaraya AEON Mall (Perak).


Terbaharu, lelaki berhati kering dari Kampung Apal, Besut, Terengganu ini bertugas menyiapkan bangunan baru Hospital Kuala Krai, Kelantan setinggi tujuh tingkat di bawah seliaan syarikat Kayangan Emas.


Menceritakan pembabitan awal kerjayanya, Khairul Riduan berkata, sebaik menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia memilih bidang itu sekalipun tidak dipersetujui ibu bapanya.


Katanya, disebabkan mahu menjejaki langkah abangnya Ahmad Ismadi, 46, yang juga pengendali kren di pelantar minyak Terengganu, dia nekad mempelajari cara mengendalikan jentera itu dengan seorang rakannya.


“Disebabkan usia ketika itu baru 20 tahun, saya beranikan diri kendalikan jentera berkenaan secara ‘haram’ sebelum berjaya memperoleh lesen terbabit dua tahun kemudian,” katanya.


Umumnya, kren menara mempunyai banyak jenis, namun paling popular digunakan di negara ini jenis Hammer Head dan Luffing yang dibeli dari Jerman, China dan Perancis.


Ukuran terpanjang sebuah kren antara 50 hingga 60 meter dengan kapasiti mengangkut bebanan kira-kira 1.3 tan pada satu masa.


Walaupun kren dilihat seperti rangka besi, harga bagi setiap jentera itu antara RM500,000 hingga jutaan ringgit.


Ironinya, kerjaya pengendali kren cukup mencabar kerana mereka perlu berdepan pelbagai risiko sama ada ketika baru hendak memulakan atau menamatkan tugas.


Dua hukum alam, ribut dan petir, adalah elemen paling digeruni pengendali kren ketika beroperasi di awan biru.


Sejak menjadi pengendali kren sedekad lalu, kren Khairul Riduan sudah beberapa kali disambar petir termasuk peralatan dan sistem komputer dalam kabinnya terbakar akibat litar pintas.


Namun, dia bersyukur kerana hanya berlaku percikan api dan selagi ribut petir masih melanda, dia tidak berani turun kerana tidak mahu menanggung risiko termasuk terkena renjatan atau disambar petir.


Khairul Riduan berkata, bukan perkara aneh jika ada pengendali yang bertugas pada ketinggian 30 tingkat bangunan, sanggup bermalam antara 24 hingga 96 jam di dalam kabin tanpa turun ke tanah.


Katanya, sepanjang tempoh itu, mereka solat, makan serta minum di dalam kabin kecil yang hanya mampu memuatkan dua orang pada satu masa.


“Bukan pemalas tetapi situasi memaksa kami lakukan semua itu. Bukan mudah nak panjat tangga kren, inikan pula nak turun serta naik sesuka hati.


“Hendak panjat kren setinggi 30 tingkat ambil masa lebih setengah jam. Jadi, bila sudah penat, terpaksalah kami sediakan sesuatu untuk membuang air besar,” katanya yang memulakan kerja seawal jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari dan berterusan jika terpaksa bekerja lebih masa.


Sumber: Harian Metro

Artikel ini telah disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 9:58 AM


1,638 views
bottom of page