top of page

MRCB berpeluang dapat projek LRT Pulau Pinang, MRT3


MRCB berpeluang dapat projek LRT Pulau Pinang, MRT3
MRCB dilantik sebagai PDP projek LRT3 oleh Prasarana pada September 2015 - Gambar hiasan

MRCB berpeluang dapat projek LRT Pulau Pinang, MRT3

KUALA LUMPUR: Rekod prestasi Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dalam projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di samping projek kereta api lain seperti Transit Aliran Massa 2 (MRT2) mungkin membolehkannya meraih peluang daripada projek berkaitan kereta api akan datang iaitu LRT Pulau Pinang dan MRT3.


Penganalisis RHB Investment Bank, Adam Mohamed Rahim, berkata keyakinan itu adalah berdasarkan kunjungannya ke depoh LRT3 di Johan Setia, Klang baru-baru ini untuk meninjau sendiri perkembangan projek berkenaan.


Katanya, projek LRT3 telah siap sekitar 60 peratus, yang bermakna MRCB kini mempunyai pengebilan kira-kira RM4.7 bilion untuk diiktiraf sehingga projek berkenaan siap.


"Setakat akhir suku ketiga 2023, perkembangan seluruh laluan pembinaan LRT3 adalah pada kira-kira 86.5 peratus. Ia dianggarkan siap menjelang Mac 2025.


"Oleh itu, kami anggarkan baki kerja 13.5 peratus untuk LRT3 atau pengebilan kira-kira RM1.6 bilion atau 9.8 peratus daripada buku pesanan dan keuntungan bersih RM48 juta (jika margin bersih tiga peratus) akan diiktiraf oleh MRCB sepanjang suku ketiga 2023 hingga suku pertama 2025," katanya dalam satu nota penyelidikan.


Adam berkata, MRCB, dalam usaha sama (JV) terdahulu dengan George Kent, pada asalnya dilantik sebagai rakan pelaksana projek (PDP) oleh Prasarana Malaysia Bhd untuk pembinaan LRT3 sepanjang 37 kilometer pada September 2015 dengan peruntukan awal RM9 bilion, tidak termasuk kos pemerolehan tanah) pada waktu itu.


Beliau berkata, jumlah RM9 bilion itu tidak termasuk kos-kos lain seperti yuran PDP sebanyak enam peratus, yuran perunding lain, kos operasi dan overhed, dan juga bayaran faedah ketika pembinaan.


Hal ini, katanya menyebabkan kos berlebihan sebanyak RM31.7 bilion.


"Namun begitu, pada Julai 2018, kos projek LRT3 dikurangkan sebanyak kira-kira 47 peratus menjadi RM16.6 bilion.


"Selepas kos dikurangkan, model PDP distruktur semula kepada kontrak harga tetap pada November 2018, JV antara MRCB-George Kent sebagai kontraktor siap bina bernilai RM11.9 bilion.


"Kemudian pada September 2021, MRCB mengambil alih pegangan 50 peratus George Kent dalam syarikat JV yang ditubuhkan bagi membina LRT3 pada harga RM53 juta, lantas mengiktiraf projek berkenaan 100 peratus mulai waktu itu," katanya.


Beliau menambah, jika diimbas kembali, pengurangan kos LRT3 pada Julai 2018 bermakna enam stesen dibatalkan.


Katanya, Prasarana telah berhubung dengan MRCB pada suku keempat 2022 mengenai kemungkinan pelaksanaan semula lima stesen yang dibatalkan sebelum ini, tidak termasuk stesen Persiaran Hishamuddin yang mungkin bernilai RM1 bilion.


"Semakan saluran kami menunjukkan hal ini telah sampai peringkat rundingan dengan Kementerian Kewangan," katanya.


Adam berkata, RHB Investment Bank mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham MRCB dengan harga sasaran 55 sen.


"Pemangkin penilaian semula dalam jangka dekat ialah pemerolehan projek tebatan banjir, terutamanya di Selangor, dengan MRCB telah telah pralayak untuk nilai kira-kira RM500 juta," katanya.


Sumber: Berita Harian


MRCB berpeluang dapat projek LRT Pulau Pinang, MRT3


bottom of page