top of page

MB tegur jabatan kerajaan


SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, hari ini menegur jabatan kerajaan di negeri ini kerana melewatkan gerak kerja dalam melaksanakan perancangan kerajaan negeri yang dapat memberi kemudahan kepada rakyat.


Beliau berkata sudah tiba masanya semua jabatan kerajaan mengubah sikap dalam melaksanakan tugas mereka seperti yang dijanjikan.


“Kalau dulu saya hanya perhati, sudah tiba masanya kita beri perhatian terhadap masalah-masalah dan rungutan yang dibangkitkan oleh orang awam.


“Rakyat melihat jentera kerajaan negeri terlalu perlahan dalam melaksanakan perkhidmatan dan janji yang dibuat.


“Sebagai contoh, kita sudah sediakan bajet berjumlah RM100 juta untuk Negeri Sembilan bagi membantu meringankan beban rakyat, tetapi malangnya saya mendapat maklumat, sehingga ke hari ini ada peruntukan yang masih belum diagihkan,” katanya.


Beliau berkata keadaan itu menimbulkan kemarahan rakyat, sekali gus memberi persepsi negatif terhadap pentadbirannya.


Selain itu, kelewatan pembayaran kepada kontraktor kerajaan negeri yang melunaskan kerja mengikut perjanjian turut memberi kesan negatif kepada pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH).


“Kita beri janji pembayaran akan dibuat dalam masa 14 hari selepas kerja diselesaikan mengikut kontrak tetapi saya menerima laporan ada jabatan yang menangguh pembayaran sehingga berbulan lamanya dan ini tidak adil kepada pihak yang terbabit,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Pegawai Pengawal Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2019 di sini, hari ini.


Aminuddin berkata, peruntukan kerajaan negeri harus dimanfaatkan sebaik mungkin bagi melihat keberkesanan perancangan kewangan kerajaan negeri terhadap rakyat.


“Peruntukan sudah ada, gunakan dengan sebaiknya untuk membantu rakyat. Kita juga mahu lihat keberkesanan bajet yang kita sediakan supaya dapat kita perbaiki di masa akan datang,” katanya.


Sumber: Berita Harian


9 views
bottom of page