top of page

LPT2 'bunuh' KETENGAH


DUNGUN: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) bercadang membina lebuh raya baharu yang menghubungkan wilayah itu dengan Pantai Barat, sekali gus mampu melonjakkan pembangunan di wilayah itu.


Pengerusinya, Datuk Zulkifli Mohamad, mendakwa Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) membawa kesan negatif kepada pembangunan di wilayah KETENGAH.


“Kita sedang mengkaji dan meneliti untuk membina lebuh raya baharu itu yang akan dinamakan laluan Mat Kilau serta dapat menghubungkan wilayah KETENGAH dengan Pantai Barat.


“Jika berjaya direalisasikan, kita yakin ia mampu mengembalikan tumpuan pengunjung ke wilayah ini sekali gus membawa perubahan besar kepada KETENGAH,” katanya pada program Tautan Kasih bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Rumah Ehsan, Bandar Al-Muktaffi Billah Shah di sini, hari ini.


TNB diwakili Pengurus Besar (Perkhidmatan Pelanggan) Terengganu, Bahagian Pembahagian TNB, Mohd Nazri Puteh yang turut menyampaikan sumbangan bernilai RM5,000 kepada rumah terbabit.


Zulkifli berkata, pihaknya mendapati kedai di wilayah ini terpaksa ditutup, malah usahawan juga terjejas kerana kurangnya pengguna melalui Jalan Jerangau-Jabur.


“Oleh itu, jika laluan baharu ini dibina, kita yakin tumpuan ramai akan kembali tertumpu di sini, sekali gus mengembalikan kemajuan wilayah KETENGAH khususnya peniaga,” katanya.


Katanya, pembinaan laluan itu juga akan membantu menaikkan ekonomi anak syarikat KETENGAH yang kini berdepan masalah disebabkan kurangnya projek dan terkesan akibat kejatuhan harga minyak sawit.


Beliau berkata, pihaknya juga percaya anak syarikat KETENGAH akan memperoleh peningkatan pendapatan apabila lebuh raya baharu itu siap kelak.


“Pada masa ini, pendapatan yang diperoleh daripada kilang kuari milik KETENGAH gagal beroperasi dengan baik kerana tiada projek baharu dan dengan adanya projek lebuh raya baru itu nanti, kuari ini menjadi pilihan kontraktor yang dilantik membina lebuh raya itu nanti.


“Kita sangat berharap projek ini nanti akan mendapat sokongan daripada kerajaan negeri demi pembangunan dan kepentingan penduduk di wilayah ini,” katanya.


Sementara itu Zulkifli berkata, sebanyak RM38 juta diperuntukkan untuk pembangunan di wilayah KETENGAH tahun ini, dengan sebahagian peruntukan akan digunakan untuk membaiki jalan keluar dari LPT2 yang menghubungkan jalan bandar di wilayah KETENGAH.



187 views
bottom of page