top of page

Lebih 1,000 kecewa dipermainkan pampasan untuk projek WCE


Kalai (tengah) ketika demontrasi aman di hadapan pintu SUK Selangor. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

SHAH ALAM – Lebih 1,000 penduduk Kampung Jawa, Klang di sini mendakwa ditipu dalam isu pampasan pengambilan tanah mereka bagi pembinaan Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE).


Ini berikutan borang H iaitu borang pemberitahu dan pemberian nilai pampasan yang telah dipersetujui pada 2015 dan gazet tanah sebelum ini telah dibatalkan selain menanggung rugi bagi bayaran peguam dan juru penilai hartanah.


Seorang penduduk, M.Uthayakumar, 58, berkata, rata-rata penduduk kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pentadbir pejabat tanah dan daerah Klang yang telah membatalkan borang pampasan itu.


Katanya, setiap daripada ketua keluarga sebelum ini telah mengeluarkan hampir RM20,000 bagi bayaran guaman dan penilai hartanah untuk tujuan pampasan itu.


“Apabila borang H sebelum ini dibatalkan bermakna nilai pampasan sebelum ini juga telah batal.


“Lapan tahun kami menanti. Pemilik tanah di kawasan lain telah dibayar. Projek telah berjalan dan kami risau terhadap lokasi kediaman kami diambil tanpa pampasan sekiranya masalah ini tidak selesai,” katanya ketika ditemui di pintu hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.


Terdahulu, lebih 30 penduduk diketuai aktivis sosial, Datuk Dr. Kalai Vanar menyerahkan memorandum mendesak campur tangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari terhadap isu itu yang diterima Pegawai Tadbir Pejabat Menteri Besar Selangor, Shahril Saad.


Seorang lagi penduduk, S. Veeramohanan, 67, berkata, mereka yang telah tinggal di lokasi tersebut sejak 85 tahun lalu membayar cukai taksiran setiap tahun.


“Kenapa dilayan begini, kami anak jati Selangor dan bukan setinggan. Lot tanah ini adalah milik kami,” katanya.


Sementara itu, Kalai berharap campur tangan Menteri Besar bagi mengatasi masalah ini dengan memanggil syarikat lebuh raya dan pentadbir pejabat tanah berkaitan.


“Kita amat sedih dengan projek telah berjalan. Sebelum hendak sambung, kena halau penduduk dan sekarang pihak terlibat mungkin menunggu warta gazet itu tamat.


“Jangan memutar belit dan memperbodohkan bahawa tanah ini adalah tanah pertanian contohnya. Kenapa tidak dikuatkuasakan sebelum ini dengan semua cukai dan bil dibayar penduduk. Laporan polis juga telah dibuat penduduk yang mengesyaki adalah ‘permainan’ dalam isu ini,” jelasnya.


Sumber: Kosmo!

25 views

Comments


bottom of page