top of page

Kontraktor lebuh raya didenda RM22,000


PENGARAH Yuta Maju Sdn Bhd, Osmera Mamat. NSTP/Mikail Ong

GEORGETOWN: Kontraktor utama pembinaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di Paya Terubong, Yuta Maju Sdn Bhd, didenda RM22,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan gagal menyediakan prosedur kerja selamat, dua tahun lalu.


Hakim Mazdi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu selepas syarikat terbabit yang diwakili pengarahnya, Osmera Mamat selaku Orang Kena Saman (OKS) menukar pengakuan kepada bersalah, sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa.


Bagi pertuduhan pertama, syarikat itu sebagai majikan didakwa gagal menyediakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti mengangkat menggunakan kren bergerak hingga menyebabkan rasuk jatuh di kawasan dalam pembinaan, kira-kira jam 8.30 malam pada 11 Oktober 2018.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Mengikut pertuduhan kedua pula, syarikat berkenaan pada tarikh, masa dan tempat sama selaku penghuni suatu pengendalian bangunan dengan kontrak melebihi RM20 juta, gagal melantik seorang yang kompeten sebagai pegawai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.


Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 29(2) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang dibaca bersama perintah 3(a) Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997, yang mana sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.


Bagi pertuduhan pertama, mahkamah memerintahkan OKS membayar denda RM20,000 dan RM2,000 bagi pertuduhan kedua serta turut menetapkan penjara masing-masing dua bulan dan dua minggu sekiranya gagal menjelaskan denda yang ditetapkan.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Mohd Najib Anuar manakala OKS diwakili peguam, S Kanesh.


Terdahulu, Kanesh memohon supaya mahkamah mengurangkan denda atas alasan kejadian berlaku akibat angin kencang yang tidak dijangka dan kejadian tidak mengakibatkan kecederaan mahu pun kematian, selain memberitahu ia adalah kesalahan pertama dilakukan anak guamnya.


Mohd Najib kemudian meminta supaya hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada OKS serta majikan lain supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan di tempat kerja pada masa akan datang.

Sementara itu, syarikat terbabit yang diwakili Osmera dan pengarah projek, Lai Sin Kian, mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan gagal menyediakan prosedur kerja selamat hingga menyebabkan tanah runtuh di tapak projek itu pada Oktober 2018.


Mengikut pertuduhan Sin Kian, didakwa sebagai pengarah projek gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja backfill atau menampung tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan insiden itu pada 1.50 tengah hari, 19 Oktober 2018.


Yuta Maju juga didakwa selaku majikan pada tarikh, tempat dan masa sama gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja backfill atau menampung tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan kejadian tanah runtuh.


Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum dua tahun atau keduanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan bagi kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Pulau Pinang, Norliza Abu Othman.


Mahkamah kemudian menetapkan 19 Februari depan sebagai tarikh perbicaraan.


Tanah runtuh yang berlaku di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus kendalian Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 19 Oktober 2018 itu meragut nyawa sembilan pekerja asing dan mencederakan empat orang, manakala seorang lagi hilang.


Projek bernilai RM530 juta itu adalah jalan bertingkat alternatif, menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam dan Lebuh Bukit Jambul, dijangka siap menjelang Mei tahun ini.



12 views
bottom of page