KUALA LUMPUR: Kerja pembangunan Langkasuka Village, fasa satu projek Widad Langkasuka sudah bermula dengan majlis pecah tanah diadakan baru-baru ini.
Widad Business Group Sdn Bhd (WBG), melalui anak syarikat milik penuhnya, Langkasuka Land Sdn Bhd, telah menganjurkan majlis pecah tanah pada 23 Oktober 2022 untuk memulakan kerja pembangunan di Langkasuka Village, fasa 1 projek Widad Langkasuka.
Majlis pecah tanah itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Pelangi Beach and Spa Resort, menandakan permulaan pakej kerja pembangunan tanah bernilai RM40 juta, yang disasarkan siap pada 3 Ogos 2023.
Kelulusan pengezonan semula guna tanah dan permohonan kelulusan perancangan pembangunan membolehkan permulaan kerja-kerja fizikal di tapak, menandakan permulaan impian besar Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah untuk mengubah dan membuka jalan bagi evolusi Langkawi daripada menjadi permata Kedah untuk menjadikan 'ia' destinasi utama dunia.
Yakin dengan peranan WBG dalam merevolusikan pelancongan di kawasan itu sambil memenuhi piawaian global, Muhammad Ikmal Opat berkata, sebagai projek berimpak tinggi, Widad Langkasuka akan dibina dengan memberi tumpuan kepada konsep penyediaan infrastruktur dan kemudahan yang kondusif untuk memacukan lagi Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf global.
WBG juga amat berterima kasih kepada Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang memudahkan Langkasuka Land Sdn Bhd melalui insentif fiskal dan bukan fiskal khusus wilayah yang menggalakkan pelaburan serantau bernilai tinggi dan substantif.
Mengulas projek itu, Menteri Besar Kedah berkata, beliau percaya Widad Langkasuka akan menjadi produk ikonik dan tarikan unik untuk Langkawi apabila ia dibina sepenuhnya pada masa hadapan.
Katanya, kira-kira seluas 800 hektar, projek bersepadu itu merangkumi pembangunan runcit dan beli-belah, hospital, kediaman, rekreasi, institusi pengajian tinggi dan banyak lagi.
"Saya ingin memuji projek ini kerana ia telah memenuhi enam teras utama Pelan Pembangunan Kedah 2035," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman, berkata pengembangan Kumpulan Perniagaan Widad di Malaysia menandakan keyakinannya terhadap pertumbuhan pemulihan ekonomi negara yang berterusan.
Beliau berkata, ia juga berfungsi sebagai pemangkin pembangunan potensi pelaburan baharu serta membina semula industri pelancongan tempatan yang berdaya tahan dan mampan.
Katanya, perasmian Langkasuka Village akan merancakkan lagi perniagaan dan aktiviti pelancongan di pulau itu, khususnya dalam kalangan pelancong kelas atasan.
"Inisiatif yang selaras dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 ini, bukan saja akan memanfaatkan daya saing industri pelancongan Malaysia tetapi juga akan membolehkan masyarakat tempatan mencapai pembangunan sosio-ekonomi.
"MIDA akan bersedia untuk memudahkan dan menyokong pelaksanaan projek Kumpulan Perniagaan Widad dan pengembangan masa depan," katanya.
Keseluruhan projek pembangunan bercampur itu dianggarkan bernilai RM40 bilion dan apabila siap, ia akan menjadi bangunan bandar pelancongan yang berdasarkan model 'seni bina vernakular Melayu', komuniti global berdasarkan warisan kepulauan yang mengguna pakai ciri tropika tempatan yang hijau dan mesra alam.
Langkasuka Village membentuk sebahagian daripada pembangunan lebih besar iaitu 800 hektar yang dikenali sebagai Widad Langkasuka, yang kemudiannya akan merangkumi pulau buatan manusia berbentuk helang yang dikenali sebagai Bandar Langkasuka.
Pembangunan Langkasuka Village termasuk Kelab Golf dan Desa Langkasuka, padang golf peringkat kejohanan dengan pembinaan rumah kelab seluas 400,000 kaki persegi.
LangVilla, vila mewah yang dikelilingi padang golf yang luas, pusat membeli-belah yang direka bentuk secara artistik untuk pengalaman runcit dengan hiburan dalaman dan luaran, hotel bertemakan hutan hujan yang mengunjur ke Laut Andaman, pangsapuri servis serta kondominium mewah.
Dengan motto Evolving Legacy, Widad Langkasuka berhasrat untuk membawa ke hadapan kekayaan warisan Langkasuka purba, yang pada zamannya adalah lokasi perdagangan terulung Nusantara dan, dengan itu, mengembangkannya menjadi bandar termaju masa hadapan.
Widad Langkasuka akan mewujudkan pembangunan bandar pintar dengan teknologi mampan yang menghormati budayanya yang kaya dan intipati geografi, hiburan dan seni pulau itu untuk melengkapkan kediaman, perniagaan, pendidikan dan hab perubatan bersepadu pembangunan itu.
WBG ialah konglomerat dengan kepentingan perniagaan yang pelbagai, iaitu dalam pengurusan fasiliti bersepadu, pembinaan, pembangunan hartanah, teknologi pertahanan, pendidikan, media, teknologi maklumat (IT) dan komunikasi.
Diperbadankan pada 2002, WBG dimiliki sepenuhnya oleh Muhammad Ikmal Opat, yang juga pemegang saham tunggal terbesar Widad Group Bhd dan Dataprep Holdings Bhd yang tersenarai di Bursa Malaysia.
Sumber: Berita Harian
Comentários